BAGAN SERAI - Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat laporan polis terhadap sebuah akaun media sosial yang dikesan memuat naik kandungan palsu berhubung kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai 'anak YTL'.
Menurut beliau, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuat siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap akaun Facebook tersebut.
"Saya telah melihat satu hantaran berita yang menyatakan 'Razman pertahan tuduhan Hannah Yeoh anak tauke YTL' dan 'Saya dah periksa akaun derma bank Pas, banyak lagi peruntukan untuk bayar saman, ujarnya gembira'.
"Hantaran tersebut turut memuat naik gambar saya. Saya menafikan hantaran berita tersebut dan tidak pernah membuat kenyataan seperti didakwa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, tujuan laporan itu dibuat kerana tidak mahu ada akaun media sosial yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fakta yang tidak benar.
![Sebuah akaun Facebook dikesan membuat hantaran palsu berhubung kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai 'anak YTL'.](/theme_sinarharian/images/no-image.jpg)
![Sebuah akaun Facebook dikesan membuat hantaran palsu berhubung kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai 'anak YTL'.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/01/29/2986847.jpg)
"Saya tidak mahu budaya menipu dan membohongi rakyat menjadi ikutan budaya rakyat Malaysia.
"Selain itu, saya mahukan SKMM dan Kementerian Komunikasi lebih berkesan mengawal berita palsu dan tidak membuat tindakan terpilih," katanya.
Sebelum ini, portal media melaporkan Razman sekali lagi mencipta kontroversi apabila mengaitkan Hannah Yeoh dan YTL.
Namun pada Isnin, Razman telah memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya dan mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL menerusi video berdurasi 19 saat pada Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit pada Ahad.