GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis mengatakan keputusan awal ujian klinikal penawar penyakit COVID-19 dijangka diketahui dalam tempoh tiga minggu lagi, lapor agensi berita Xinhua.
"Kami masih menantikan keputusan dua ujian klinikal yang dilakukan unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) WHO," kata Ketua Pengarah badan kesihatan dunia itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada taklimat harian.
Iklan
Iklan
"Satu ujian klinikal itu menggabungkan dua ubat untuk HIV, Lopinavir dan Ritonavir, satu lagi ujian antivirus dipanggil Remdesivir. Kami menjangkakan paling awal keputusan dapat diperoleh dalam tempoh tiga minggu," katanya.
Remdesivir dihasilkan syarikat gergasi farmaseutikal biotek Gilead Sciences bagi merawat jangkitan virus Ebola dan Marburg. Bagaimanapun ia turut menunjukkan potensi sebagai agen antivirus melawan koronavirus seperti SARS (sindrom pernafasan akut teruk) dalam kajian yang dijalankan ke atas jangkitan dalam tikus dan monyet.
Antivirus itu didapati menghalang koronavirus daripada membiak setelah memasuki tubuh.
Satu kajian yang diterbitkan pada 2004, mendapati gabungan ubat antiHIV Lopinavir dan Ritonavir mempunyai"manfaat klinikal yang penting" apabila diberikan kepada pesakit SARS. Di Hospital Jinyintan, Wuhan, kumpulan pertama seramai 41 pesakit dirawat menggunakan gabungan ubat tersebut.
Versi ketiga buku garis panduan rawatan COVID-19 yang diterbitkan Suruhanjaya Kesihatan China mencadangkan pengambilan dua pil Lopinavir/Ritonavir dan menyedut ubat alpha interferon dua kali sehari boleh memberi manfaat kepada pesakit.- Bernama