IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menafikan tajuk khutbah Jumaat esok yang dipilih tidak mempunyai kaitan dengan individu tertentu.
JAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan teks khutbah bertajuk Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki diolah berdasarkan peristiwa al-Ifki iaitu kejadian fitnah ke atas Saidatina Aisyah iaitu isteri Nabi Muhammad SAW.
"Berkenaan khutbah JAIPk bertajuk Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki yang akan dibacakan pada minggu ini tiada kena mengena dengan mana-mana individu.
"Khutbah ini diolah berdasarkan kepada peristiwa al-Ifki yang berlaku pada bulan Syaaban," katanya dalam Facebook pada Khamis.
Terdahulu satu hantaran Facebook oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Rif'aat Razman mempersoalkan tajuk khutbah yang dipilih oleh JAIPk pada Jumaat.
Menurutnya, tajuk tersebut seolah-olah berkaitan dengan isu tuduhan fitnah Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini.
Katanya, peristiwa yang dekat dengan umat Islam ketika ini berkaitan Israk Mikraj dan kelebihan bulan Syaaban.
"Adakah Jabatan Agama Islam melalui khutbah ini mahu menyinggung tentang isu fitnah Razman terhadap Hannah Yeoh, apabila dikatakan beliau sebagai anak YTL secara tersilap dan sudah pun memohon maaf atas kesilapan itu. Wallahualam. Saya hanya bertanya.
"Sekiranya itulah niat sebenarnya, jelas sampai begitu sekali gigihnya mereka mahu mempertahankan maruah pemimpin DAP yang dikaitkan sebagai anak YTL, sampai menyamakan dengan peristiwa al-Ifki yang mencemarkan maruah Ummul Mu'minin Sayyidah Aisyah yang dituduh curang," katanya dalam hantaran tersebut.
Mengikut Bayan Linnas Siri Ke-181, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Peristiwa Al-Ifki tersebut berlaku pada tahun keenam hijrah setelah tamatnya perang Bani Mustoliq.
Ia merupakan satu peristiwa di mana orang-orang munafik menuduh isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan bin Mu’attol.
Perkara ini pada asasnya menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah pada ketika itu.
Sebelum ini, portal media melaporkan Razman sekali lagi mencipta kontroversi apabila mengaitkan Hannah Yeoh dan YTL.
Namun selepas itu, Razman memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya.