Sokong kawal jualan arak di kawasan bukan Islam

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil dari kiri: Mohd Akmal, Hafez Gambar hiasan. Gambar kecil dari kiri: Mohd Akmal, Hafez
Gambar hiasan. Gambar kecil dari kiri: Mohd Akmal, Hafez

IPOH - Penjualan arak secara terkawal dalam komuniti orang bukan Islam dilihat pendekatan terbaik dalam mendepani polemik penjualan minuman keras itu di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri berkata, penjualan arak secara berleluasa meningkatkan masalah jenayah dan sosial dalam komuniti setempat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia termasuklah bahaya disebabkan pemandu mabuk serta kes-kes keganasan yang membahayakan masyarakat.

"Bagi saya perpaduan hanya boleh dibina apabila setiap orang menghormati sensitiviti agama masing-masing dan satu penghinaan apabila seseorang itu diajak atau dipaksa melanggar prinsip-prinsip agama yang dianutinya terutama sekali Islam yang menjadi agama persekutuan.

Iklan

"Islam bukan sekadar melarang umatnya minum arak bahkan melarang umat Islam untuk turut terlibat dengan apa jua urusan seperti menyedia, menghidang, menjual, membeli untuk orang lain atau terlibat dengan mana-mana bahagian berkaitan arak," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Hafez yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat turut menyokong segala usaha khususnya yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mengawal penjualan arak termasuk melarang penjualan arak di kawasan majoriti umat Islam.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin menggesa kerajaan Perak untuk memberi kebenaran kepada semua PBT di negeri ini, bukan hanya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi menjalankan kajian terhadap larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Islam.

Jelasnya, pada tahun 2022 Majlis Daerah Selama (MDS) berjaya menguatkuasakan larangan penjualan arak secara runcit di sekitar kawasan pentadbiran PBT itu setelah bantahan dibuat oleh penduduk.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu, pelaksanaan larangan itu berjalan tanpa bantahan kerana majoriti penduduk di kawasan Selama itu merupakan orang Islam.

"Larangan menjual arak di kawasan majoriti muslim bukan bermaksud diskriminasi terhadap kumpulan tertentu kerana orang bukan Islam masih boleh minum minuman keras tersebut.

"Kedai-kedai makan milik bukan Islam tidak dihalang menjual minuman tersebut dan pelanggan mereka juga bebas untuk minum. Cuma pembelian itu terhad di kedai terpilih sahaja," katanya.

Beliau berkata, PBT mempunyai kuasa di bawah undang-undang kecil untuk melaksanakan larangan tersebut dan ia tidak memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk melaksanakannya.

Sebelum ini, pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan MBI telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan, terdapat cadangan dan tuntutan supaya larangan penjualan arak dan minuman beralkohol di kawasan majoriti penduduk Melayu diperluaskan ke Tambun, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.

Bagaimanapun, Kor Ming menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di semua premis perniagaan termasuk dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Ketetapan itu katanya, bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.

Pada 28 Januari lalu, Saarani memaklumkan kerajaan Perak tidak menghalang MBI meneruskan kajian terhadap larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.