SHAH ALAM - Pihak kerajaan tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris sebagai satu bahasa ilmu, namun dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukanlah sesuatu yang tepat untuk dijalankan dan masih percaya bahawa mengembalikan PPSMI adalah satu kesilapan.
Selaku pendebat kedua di pihak kerajaan, Muhammad Ilham Hafiz Azmi turut mempersoalkan stigma serta persepsi perwakilan pembangkang ataupun rakyat secara umumnya yang mengatakan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa kepada kemajuan.
Sebaliknya beliau berkata, ia merupakan mentaliti yang perlu diperbetulkan dengan menjadikan Jerman, Korea Selatan, Jepun dan Itali sebagai contoh, apabila kesemua negara terbabit maju dalam bidang sains dan teknologi walaupun mengangkat bahasa ibunda masing-masing.
"Pihak pembangkang juga ada mempertikaikan tentang masalah pelaksanaan PPSMI, seolah-olah ia perkara yang baharu sahaja dicadangkan sedangkan ia sudah terbukti gagal dan kita perlu tinggalkan pelaksanaan ini.
"Mereka turut membidas Programme for International Student Assessment (PISA) dengan mengatakan setelah kita meninggalkan PPSMI, PISA kita berada di purata minimum dalam kalangan negara-negara Organisation For Economic Co-operation and Development (OECD).
"Maka saya cabar perwakilan-perwakilan pembangkang dengan fakta-fakta yang telah dikemukakan, bagaimanakah sekiranya kita melaksanakan semula PPSMI tiba-tiba keputusan PISAnya akan meningkat?
"Malah pembangkang juga mengatakan sekiranya PPSMI ini kembali diperkenalkan, ia akan merapatkan jurang pelajar luar bandar dan bandar, sedangkan jika dilihat kepada sosioekonomi masyarakat luar bandar, ia jelas akan melebarkan lagi jurang pendidikan mereka dan perkara itulah yang kita tidak mahukan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Ilham Hafiz mengakui bahawa penggunaan bahasa Inggeris tidak menjamin kemajuan sekali gus membuktikan bahawa bahasa ibunda tidak boleh diketepikan.
Katanya, negara-negara maju yang menggunakan bahasa ibunda dalam sains dan teknologi seperti Jepun, Hong Kong, Jerman dan sebagainya telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja terbaik dalam pendidikan bahkan industri mereka juga sama.
"Mengapa, kerana mereka percaya dalam mengejar kemajuan, bahasa ibunda tidak boleh ditinggalkan dan kerana itu saya percaya mengembalikan semula PPSMI adalah satu kesilapan.
"Ini kerana kita percaya jatuh bangun sesebuah bangsa dan ketamadunan bergantung kepada perkembangan ilmu dan pengetahuan mereka.
"Maka dengan pengembalian PPSMI ini akan merencatkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kerana ia akan mengurangkan insentif serta dorongan untuk menterjemah karya asing ke dalam bahasa kita kerana bahasa asing digunakan secara terus untuk mengajar sains dan teknologi,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Ilham Hafiz turut menekankan bahawa pengembalian PPSMI itu tidak akan menyelesaikan isu sebenar yang mendasari sistem pendidikan negara, sebaliknya melebarkan lagi jurang pendidikan yang menjadi faktor cuba dielakkan oleh pihak kerajaan.