Khutbah Jumaat di Perak ingatkan tentang bahaya fitnah

Iklan
Khatib di Masjid Muhibbuddin Shah di sini turut membacakan teks khutbah Jumaat bertajuk Keburukan Fitnah: Pengajaran dari Peristiwa al-Ifki pada Jumaat. Khatib di Masjid Muhibbuddin Shah di sini turut membacakan teks khutbah Jumaat bertajuk Keburukan Fitnah: Pengajaran dari Peristiwa al-Ifki pada Jumaat.
Khatib di Masjid Muhibbuddin Shah di sini turut membacakan teks khutbah Jumaat bertajuk Keburukan Fitnah: Pengajaran dari Peristiwa al-Ifki pada Jumaat.

IPOH - Umat Islam diingatkan untuk menjauhkan diri daripada perbuatan fitnah kerana ia boleh menyebabkan umat Islam bertelagah serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

Menerusi teks Khutbah Jumaat bertajuk Keburukan Fitnah: Pengajaran dari Peristiwa al-Ifki yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini, jemaah diingatkan tentang implikasi fitnah yang merupakan dosa besar.

Iklan
Iklan

Peristiwa al-Ifki yang berlaku di dalam bulan Syaaban mengisahkan tentang fitnah yang dilemparkan terhadap isteri Rasulullah SAW, Sayidatina Aisyah berlaku semasa perjalanan pulang Baginda SAW dan para sahabat daripada perang Bani Mustaliq.

Semasa perjalanan tersebut, Sayidatina Aisyah tertinggal di belakang, ditemui oleh sahabat bernama Safwan bin Mu'attal yang kemudian mengambil tanggungjawab mengiringi Sayidatina Aisyah membawanya ke hadapan untuk dapat menyertai semula ahli-ahli rombongan yang lain.

Iklan

Namun dalam kalangan orang-orang munafik yang diketuai Abdullah bin Ubai telah menyebarkan fitnah, menuduh Sayidatina Aisyah RA melakukan zina bersama Safwan bin Mu’attal RA.

Akhirnya fitnah terungkai apabila ALLAH SWT menurunkan wahyu melalui surah an-Nur ayat 11, sekali gus membersihkan maruah Sayidatina Aisyah dan nama baik Safwan.

Iklan

Menurut teks khutbah tersebut, terdapat beberapa pengajaran dari peristiwa al-Ifki tentang keburukan fitnah iaitu boleh menjejaskan maruah, mengakibatkan berlaku perselisihan faham antara suami isteri, menjejaskan hubungan sesama ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan sekerja.

"Fitnah boleh menyebabkan ummah bertambah keliru, bertelagah, bermusuh dan berpecah belah. Fitnah juga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, di samping membantut usaha untuk memajukan rakyat dan membangunkan negara," jelas teks khutbah berkenaan.

Menurutnya, Rasulullah SAW juga memperingatkan umat Islam agar berhati-hati sebelum bercakap mengenai perkara yang tidak diketahui kebenarannya.

Justeru umat Islam dinasihatkan menyelidiki maklumat yang diterima kerana Islam mengajar untuk terlebih dahulu memeriksa sesuatu berita sebelum mempercayai.

Menurutnya, selain itu mereka jangan gopoh menyebarkannya agar terlindung daripada terlibat melakukan dosa besar dalam rantaian menyebar fitnah.

"Mutakhir ini, fitnah, berita palsu dan penipuan berlaku secara berleluasa dalam kalangan umat Islam. Ada pihak yang menjadikan tabiat mencetuskan fitnah tanpa bukti kukuh, dan ada pula pihak yang begitu dangkal mudah mempercayai berita tanpa diselidiki kebenarannya, malah turut terlibat meluaskan sebarannya.

"Mimbar menasihati para jemaah untuk menjauhkan diri daripada perbuatan fitnah dan menyebarkan fitnah kerana perbuatan tersebut merupakan dosa besar yang akan menerima azab yang keras daripada ALLAH SWT," katanya.

Jelas teks khutbah tersebut, fitnah boleh mengundang pelbagai kesan buruk menyebabkan seseorang buta dalam menilai kebenaran.

Oleh itu, umat Islam perlu memperbanyakkan doa kepada ALLAH SWT apabila menghadapi ujian difitnah di samping berhati-hati dalam setiap tindakan agar tidak terlibat menjadi pihak yang menyambung rantaian fitnah.