IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak tertentu yang mempersoalkan inisiatif Malaysia untuk membantu memulihkan semula Gaza.
Beliau mengakui kecewa apabila usaha murni itu tidak disenangi oleh pihak tertentu sedangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam Gaza, Palestin jarang berlaku sejak Perang Dunia Kedua sampai sekarang.
"Inilah malapetaka paling dahsyat yang menimpa umat Islam, umat manusia. Ada pula golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dulu berkata sekolah kita pun tak selesai nak tolong orang lain. Ini perasaan hati manusia bagaimana ini?
"Kita tolong orang kampung lain, boleh kata (masalah) kampung kamu pun belum selesai. Dalam Islam tidak pernah fikir begitu," katanya ketika berucap.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Kenduri Rakyat di luar pekarangan Masjid Al-Muttaqin Taman Meru di sini pada Jumaat.
Anwar berkata, melalui Projek Bandar Wakaf yang diumumkan itu Malaysia akan membina masing-masing sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk di Gaza.
Jelasnya, kerajaan Malaysia dan Jepun juga sepakat membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Pada Khamis, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan berkata, pemimpin negara perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, sebelum memulakan rancangan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.
Rafidah dalam kenyataan tersebut berkata, perhatian perlu diberikan kepada negara terutamanya kepada keadaan yang menyedihkan seperti masalah di sekolah dan hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadat.
Dalam perkembangan lain, Anwar dalam ucapan sama turut mengumumkan peruntukan segara lebih RM24 juta untuk membaiki infrastruktur akibat banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak.