KUANTAN - Seorang lelaki warga Indonesia ditemui lemas selepas dilaporkan hilang di bawa arus ketika berenang ke kawasan berbatu di Pantai Balok di sini pada Jumaat.
Mayat mangsa, Ahmad Nanda, 22, berasal dari Padang, Indonesia ditemui jam 2.17 petang kira-kira 50 meter dari pantai.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, identiti mangsa disahkan salah seorang rakannya yang juga pengadu.
"Mayat mangsa hantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya.


Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari Kuala Lumpur datang ke kawasan pantai peranginan itu untuk bercuti bersama keluarga dan kenalan seramai 12 orang.
"Mereka tiba pada Khamis lalu dan menginap (berkhemah) di sebuah tapak perkhemahan di kawasan itu dan dijangka pulang Sabtu ini.
"Kira-kira jam 10 pagi pada Jumaat, mangsa bersama rakan dan dua sepupu perempuan masing-masing berusia 24 dan 25 tahun ke kawasan pesisir pantai Balok untuk mandi-manda,"katanya.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan rakannya, mangsa telah mengajak mereka bertiga berenang ke kawasan berbatu berhampiran pantai.
"Mangsa berenang mendahului rakan dan sepupunya, namun semasa menghampiri kawasan berbatu itu, dia tiba-tiba tenggelam dan terkapai-kapai meminta tolong.
"Kejadian itu disedari rakan dan dua ahli keluarganya itu sebelum mereka menjerit meminta bantuan orang awam yang berada di situ.
"Bagaimanapun cubaan untuk menyelamatkan mangsa gagal kerana arus ombak yang kuat," katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari berkata, kejadian telah dilaporkan melalui panggilan MERS 999 kira-kira jam 11 pagi.
"Pada jam 11.30 pagi, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
"Operasi SAR ditamatkan selepas mayat mangsa ditemui," ujarnya.