SHAH ALAM - Pengunjung Jualan Gudang Karangkraf 2025 di sini kini berpeluang merebut pelbagai koleksi cenderamata menarik dengan harga serendah RM1.
Penolong Pengurus Jualan Grup Buku Karangkraf, Norhaslinda Izham berkata, selain novel, buku cerita atau Al-Quran, pengunjung juga boleh mendapatkan cenderamata unik hasil rekaan Grup Buku Karangkraf sendiri.
"Kami turut menyediakan cenderamata hasil rekaan sendiri oleh Grup Buku Karangkraf seperti koleh (mug), tumbler dan penanda buku dengan rekaan yang sangat menarik dan ‘trendy’.
"Sebagai syarikat pengeluar Al-Quran terbesar juga, kami ada menyediakan penunjuk kitab suci itu yang direka khas daripada Karya Bestari,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, jualan gudang menjadi program sulung Kumpulan Karangkraf tahun ini sehingga 2 Februari depan bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.
Pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapat tawaran diskaun harga berpatutan, malah terdapat pelbagai aktiviti menarik disajikan sepanjang program berlangsung.
Tambah Norhaslinda, pengunjung turut berpeluang membawa pulang beg jinjing (tote bag) yang bernilai RM20 secara percuma sekiranya membeli Al-Quran dengan harga kombo.
"Untuk pembelian Al-Quran Mushaf Al-Imam dan Al-Kubra serta rehal secara kombo, pengunjung akan mendapat tote bag dengan percuma,” ujarnya.
Katanya lagi, jualan gudang kali ini turut menyediakan penjualan beberapa peralatan persekolahan untuk memudahkan ibu bapa membeli barang keperluan anak-anak mereka.
Ditanya jenis produk cenderamata paling mendapat sambutan pengunjung, beliau memaklumkan setakat hari ini enamel pin dan kunci rantai (keychain) paling laris terutama dalam kalangan pelajar sekolah.