SHAH ALAM - Cuti semester dimanfaatkan sebaiknya dengan mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf bagi membeli beberapa bahan keperluan pembelajaran antaranya bahan bacaan dan al-Quran.
Menurut Sakinah Saifuddin, 21, yang kini melanjutkan pengajian di Kenya dalam jurusan Bahasa Arab, mengambil kesempatan membeli bahan bacaan tambahan untuk mengisi masa lapang sepanjang tempoh cutinya.
"Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke jualan gudang dan agak terkejut apabila mendapati harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga di pasaran.
"Selain buku, saya juga tidak melepaskan peluang membeli cenderamata seperti penanda buku untuk dijadikan kenang-kenangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jualan Gudang Karangkraf 2025 menawarkan harga runtuh kepada pengunjung melibatkan semua produk di bawah Grup Buku Karangkraf bermula 24 Januari hingga 2 Februari ini.
Dibuka seawal jam 9 pagi hingga 7 malam, pelbagai aktiviti disajikan selain turut menyediakan kemudahan seperti surau, reruai jualan makanan dan parkir percuma.
Tambah Sakinah, dia turut mengambil kesempatan menemani adiknya, Qaid Johar Saifuddin yang kini berada di Tingkatan Empat membeli beberapa buku latihan untuk mengulang kaji pelajaran sepanjang cuti persekolahan.
Katanya, dengan tawaran diskaun yang berpatutan membolehkan adiknya menambah koleksi buku latihan selain dapat membantu meningkatkan tahap penguasaannya.
"Terima kasih kepada datuk yang membawa kami mencuci mata dan membeli buku dan beberapa barangan lain.
"Bukan sahaja terdapat buku malah pengunjung juga tidak kelaparan kerana tersedia reruai jualan pelbagai jenis makanan,” katanya.