SHAH ALAM - Sambutan Tahun Baharu Cina menjadi jambatan mengikat tali persaudaraan di antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan ibu saudaranya, Junaidah Ibrahim yang beragama Islam walaupun mereka berbeza agama dan budaya.
Ka Siong berkata, kehadiran Junaidah bersama suami, Azizi Abu Bakar dan anaknya atas tujuan menziarahi ibu beliau pada hari pertama Tahun Baharu Cina di Melaka menunjukkan hubungan kekeluargaan antara mereka tidak putus.
"Air dicincang tidak akan putus. Berbeza agama dan budaya bukan pemisah buat adik beradik.
"Makcik Junaidah adik kepada ibu saya, bersama dengan suaminya Pakcik Azizi dan anak-anaknya telah melawat kakaknya (ibu saya) pada hari pertama Tahun Baharu Cina 2025 di Melaka.
"Ziarah selama 2 jam ini menambahkan lagi ikatan silaturahim dua beradik ini sempena meraikan Tahun Ular. Perbezaan umur adik-beradik ini adalah 20 tahun," katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau pada Jumaat.
Ka Siong berkata, sebelum ini makcik dan keluarganya itu menziarahi rumah datuk beliau di Tangkak untuk berjumpa dengan adik-beradik lain.
Ujarnya, sejak bersua semula dengan keluarga kandungnya, Junaidah sentiasa menziarahi adik-beradik pada setiap kali perayaan Sambutan Tahun Baharu Cina.
Tambah Ka Siong, ibunya mempunyai 16 adik beradik dan beliau dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga Cina di Melaka, manakala Junaidah diserahkan kepada sebuah keluarga Melayu.
"Hajat makcik saya untuk mencari bapa kandungnya akhirnya kesampaian pada tahun 1998.
"Apa yang lebih mengharukan ialah ibu bapa angkat Makcik Junaidah yang beragama Islam, sentiasa menggalakkannya supaya mencari bapa kandung walaupun terpaksa menempuh perjalanan berliku. Akhirnya hasrat makcik Junaidah tercapai. Selepas sambutan Tahun Baharu Cina tahun 2000, datuk saya meninggal dunia.
"Tidak kira sama ada majlis perkahwinan atau kematian saudara-mara, adik-beradik yang berlainan agama tetap bersama. Inilah semangat erat kekeluargaan kami yang tidak pernah pudar dan diharapkan ia berterusan sampai bila-bila dari satu generasi ke satu generasi," katanya.