Mahathir Rais dedah punca keluar Bersatu

Iklan
Mahathir Mohd Rais Mahathir Mohd Rais
Mahathir Mohd Rais

SHAH ALAM – Bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais mendedahkan beliau melepaskan jawatannya kerana mendakwa parti itu kini dibelenggu oleh individu yang mengutamakan agenda peribadi berbanding prinsip penubuhan parti.

Bekas Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan itu mendakwa, beberapa bekas ahli UMNO yang masih setia kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyertai Bersatu telah berusaha untuk melemahkan nilai-nilai yang pernah diperjuangkan parti itu.

Iklan
Iklan

"Mempertahankan rasuah, menulis semula sejarah dan membenarkan jenayah lampau adalah realiti baharu dalam Bersatu. Saya tidak meninggalkan Bersatu kerana saya hilang kepercayaan dalam perjuangan, saya pergi kerana perjuangan tidak lagi wujud.

"Jika hanya mengenai kedudukan, saya tidak akan meninggalkan parti ini yang saya bantu bina dan pertahankan walaupun saya disiasat kerana lantang bersuara pada 2017. Tetapi apabila parti yang pernah berintegriti mula membenarkan rasuah, apa yang tinggal untuk diperjuangkan?” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Mahathir pada 11 Januari lalu dilaporkan membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan beliau keluar dari parti itu setelah meletakkan semua jawatan termasuk di dalam PN berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi satu surat diutuskan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Radzi Md Jidin, Mahathir menyatakan hasrat peletakan jawatan tersebut namun tidak memperjelaskan alasan keputusan berkenaan dibuat.

Iklan

Sementara itu, Mahathir turut menasihati PN supaya mengikuti cara yang betul iaitu perlu menang sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya mereka mahu membentuk kerajaan.

Menurutnya, PN perlu membuktikan kepada rakyat mengapa mereka layak memimpin dan seterusnya mesti membiarkan demokrasi berjalan dengan lancar.

"Pembangkang mesti faham bahawa demokrasi bermakna menerima keputusan pilihan raya. Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri dan melainkan perubahan berlaku melalui proses yang sah, tumpuan harus diberikan kepada tadbir urus, bukan sabotaj.

"Di bawah kepimpinannya, Malaysia mencapai kemajuan yang ketara iaitu penstabilan ringgit, keyakinan pelabur meningkat dan syarikat global mengiktiraf negara sebagai hab ekonomi utama. Kerajaan yang kukuh dan berwibawa menarik pertumbuhan, bukan ketidakstabilan.

"Dengan dasar yang jelas dan visi jangka panjang, Anwar meletakkan asas bagi daya tahan ekonomi dan kemajuan negara. Perubahan sebenar datang daripada membina keyakinan, bukan gangguan,” ujarnya.

Mahathir menegaskan, Malaysia tidak lagi mampu untuk menerima kerajaan pintu belakang yang lain apatah lagi rakyat juga sudah bosan dengan ketidakstabilan.

"Jika pembangkang percaya Anwar gagal, biarlah dia gagal dengan caranya sendiri. Rakyat akan menilai kepimpinan beliau menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Sehingga itu, peranan pembangkang adalah untuk menyediakan penyelesaian, bukan untuk sentiasa merancang pengambilalihan seterusnya.

"Pada ketika ini, apakah rancangan sebenar? Jika kuasa adalah satu-satunya matlamat, maka Malaysia sedang menuju ke arah yang berbahaya. Kerajaan yang dibentuk tanpa hala tuju yang jelas tidak akan kekal, sejarah telah membuktikannya,” tambahnya lagi.

Katanya, seandainya PN serius ingin menggantikan kerajaan, mereka memerlukan alternatif yang jelas, pemimpin yang berkebolehan dan pelan dasar yang kukuh.