MELAKA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memulakan misi jelajah ke negeri-negeri yang bakal berdepan pilihan raya negeri (PRN) seperti di Sabah dan Melaka.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, misi jelajah ini akan menjadi medium bagi parti itu mendengar taklimat awal berkaitan persiapan PRN yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Menurutnya, Bersatu juga telah mulakan gerak kerja bagi memantapkan lagi barisan kepimpinan selain penambahan ahli dengan menubuhkan cawangan-cawangan baharu di setiap pusat daerah mengundi (PDM).
"Wallahualam (PRN) tak tahu bila, tapi sudah ada bunyi-bunyi mengatakan kemungkinan besar ia akan diadakan.
"(Gerak kerja) ini sebagai mempersiapkan kita dengan jentera-jentera yang boleh bekerja untuk hadapi pilihan raya yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Majlis Minum Petang bersama Majlis Badan Pimpinan Bersatu Melaka di Ayer Keroh di sini, pada petang Jumaat.
Hadir sama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali dan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kaedah sama juga akan diguna pakai di Sabah dan telah membentuk semula Bersatu Sabah selepas menghadapi masalah sebelum ini
Ujarnya, Timbalan Pengerusi Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah mengadakan jelajah dan beberapa perhimpunan seperti di Sepanggar yang mendapat sambutan begitu baik di kalangan rakyat.
"Kalau tak silap saya, dan beberapa tempat yang lain (Sabah) jadi ini sebagai langkah permulaan untuk menghadapi pilihan raya negeri tidak berapa lama lagi," ujarnya lagi.
Sementara itu, Rahim yang telah dipilih sebagai Pengerusi Bersatu Melaka meletakkan sasaran untuk PN menang sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN di negeri ini yang akan datang.