IPOH - Pihak berkuasa digesa menyiasat hantaran seorang pemimpin Pas Perak menerusi akaun Facebook yang disifatkan mencemar kredibiliti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pemimpin Pas itu didakwa membuat tuduhan dan pernyataan yang mempertikaikan integriti JAIPk berkaitan teks khutbah Jumaat.
Menurutnya, hantaran pemimpin tersebut didakwa mengandungi unsur menghasut masyarakat supaya mempertikaikan autoriti institusi agama yang dinaungi oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Beliau berkata, laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Jelapang di sini pada Jumaat.
"Saya membuat laporan ini kerana bimbang tindakan ini boleh mencemarkan kredibiliti institusi agama Islam, MAIPk (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak), Jabatan Mufti dan JAIPK.
"Ia juga dibimbangi menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat selain menjejaskan keharmonian beragama di negeri Perak," katanya menerusi laporan polis yang dikongsi kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Justeru Hasnul Zulkarnain memohon pihak polis menyiasat perkara tersebut di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.
Menurutnya, kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Khamis melaporkan, JAIPk menafikan tajuk khutbah Jumaat yang disediakan itu mempunyai kaitan dengan individu tertentu.
JAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan teks khutbah bertajuk Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa al-Ifki diolah berdasarkan peristiwa al-Ifki iaitu kejadian fitnah ke atas Saidatina Aisyah iaitu isteri Nabi Muhammad SAW.
Terdahulu satu hantaran Facebook oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Rif'aat Razman mempersoalkan tajuk khutbah yang dipilih oleh JAIPk pada Jumaat.
Menurutnya, tajuk tersebut seolah-olah berkaitan dengan isu tuduhan fitnah Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini.
Sebelum ini, portal media melaporkan Razman sekali lagi mencipta kontroversi apabila mengaitkan Hannah Yeoh dan YTL.
Namun selepas itu, Razman memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya.