SHAH ALAM - Tabiat sering menghisap cuping telinga tuannya membuatkan warga TikTok terhibur dengan gelagat pelik seekor kucing betina yang diberi nama Mira.
Peniaga makanan, Nik Shahrulmizan Nik Li, 40, berkata, dia tidak menyangka Mira yang pada mulanya ditemui sesat dan bersendirian di tengah-tengah lebuh raya Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) memiliki perangai sebegitu aneh.
Menurut jejaka tersebut, tiga hari selepas Mira dibawa pulang ke rumah, dia tertanya-tanya tentang telinganya yang kerap berair, basah dan rasa tidak selesa.
"Rupa-rupanya Mira yang hisap setiap kali nampak saya tak kira sebelum dia nak tidur atau tak. Dia akan cari (telinga) sampai dapat walaupun saya pakai ‘hoodie’.
"Hari keempat dia dah terkam telinga saya masa tengah tidur di ruang tamu. Orang kata kucing buat macam itu kerana rindukan ibunya.
"Mungkin juga sebab jumpa Mira atas jalan selepas pulang kerja tiga minggu lepas. Waktu itu kereta memang banyak dan saya ambil terus bawa balik. Jadi, saya beri nama Mira sempena jumpa di MRR2,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ditanya mengenai penerimaan orang ramai, Nik Shahrulmizan memaklumkan, rata-ratanya mengakui geli hati melihat keletah manja dan kecomelan Mira meskipun ia sekadar kucing kampung.
Tambahnya, kehadiran Mira juga dianggap satu rezeki yang tidak disangka-sangka.
Bukan itu sahaja, katanya, 10 ekor kucing peliharaan yang lain tiada masalah apabila menerima pendatang baharu ketika bergaul dan bermain di dalam rumah.
"Saya bersyukur sangat sebab orang ramai boleh terima video mengenai Mira yang dikongsikan di TikTok.
"Perkongsian ini juga untuk tunjukkan kepada mereka di luar sana supaya jangan dera binatang. Kalau boleh berilah kasih sayang sepenuh hati.
"Rezeki pun jadi lancar, tak kisah sama ada kucing, anjing atau haiwan lain,” ujarnya lagi.