SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membidas saranan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung pembangunan semula Gaza dengan menegaskan bahawa isu kemanusiaan tidak mengenal sempadan.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, beliau menolak pandangan Rafidah supaya kerajaan memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza kerana sumbangan kepada Gaza datang daripada pelbagai sumber bukan semata-mata daripada kerajaan.
"Krisis di Gaza bukan sekadar isu politik tetapi juga tragedi kemanusiaan yang memerlukan solidariti global. Malaysia, sebagai negara yang mendukung hak asasi manusia dan perpaduan umat Islam mempunyai tanggungjawab moral untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat penindasan serta peperangan.
"Bantuan kepada Gaza juga tidak semestinya datang daripada dana kerajaan sahaja. Banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang bersedia menyumbang secara sukarela. Justeru, usaha membantu Gaza tidak akan membebankan ekonomi negara jika dilakukan melalui saluran yang betul,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Rafidah sebelum ini dilapor berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat sebelum memulakan rancangan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis Israel.
Bekas Ketua Wanita UMNO itu berkata, walaupun Gaza perlu dibangunkan semula dan niat tersebut wajar dipuji, namun terdapat isu mendesak dalam negara yang perlu diselesaikan antaranya keadaan ‘menyedihkan’ di sekolah-sekolah luar bandar.
Pandangan terbabit disuarakan Rafidah susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, membantu Gaza juga tidak bererti kerajaan mengabaikan masalah tempatan kerana Malaysia telah lama mengimbangi usaha antara menangani masalah domestik dan menyalurkan bantuan luar.
Menurutnya, kerajaan dan NGO telah berjaya menjalankan pelbagai inisiatif kebajikan dalam negara sambil tetap menghulurkan bantuan kepada negara lain dalam pelbagai krisis termasuk ketika pandemik Covid-19 yang mana Malaysia masih mampu membantu negara luar melalui misi kemanusiaan tanpa mengabaikan kebajikan rakyatnya.
"Malaysia turut mempunyai reputasi sebagai negara yang lantang memperjuangkan hak Palestin. Mengurangkan sokongan kepada Gaza boleh melemahkan pengaruh diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjejaskan hubungan dengan negara-negara Islam lain.
"Keutamaan ketika ini bukan hanya isu ekonomi tetapi solidariti umat Islam. Walaupun masalah ekonomi dan sosial dalam negara harus diberi perhatian, Malaysia juga perlu mempertahankan prinsip solidariti umat Islam sejagat. Bantuan kepada Gaza bukan hanya soal kewangan tetapi juga membuktikan komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya.
Dari segi keadaan sekolah luar bandar yang dibangkitkan pula, Mohd Azmi berpendapat, walaupun sekolah luar bandar di Malaysia masih menghadapi cabaran seperti kekurangan infrastruktur, keadaan tersebut masih jauh lebih baik berbanding Gaza, di mana kebanyakan sekolah telah hancur akibat serangan berterusan.
Oleh itu, Mohd Azmi berkata, walaupun penting memberi perhatian kepada masalah dalam negara, Malaysia tetap mempunyai kapasiti untuk membantu Gaza secara serentak.