Peningkatan peratusan staf meninggalkan organisasi sebelum tempoh persaraan paksa menjadi trend terkini. Antaranya adalah kerana mendapat pekerjaan yang lebih baik, masalah kesihatan, laluan kerja yang terhad atau persekitaran tepat kerja yang kurang selesa. Mentaliti diri dan cara individu menangani sesuatu kerja merupakan sebab utama staf sukar memperoleh kerjaya sesuai.
Kesetiaan merujuk kepada dedikasi seseorang pekerja kepada organisasi dan identifikasi dengan organisasi iaitu perasaan bangga menjadi pekerja organisasi tersebut. Kesetiaan terbahagi kepada tiga iaitu nilai persamaan, taat setia, dan dipunyai. Tempoh seorang pekerja kekal berkhidmat dalam organisasi tersebut merupakan pengukuran kesetiaan.
Antara salah satu faktor yang menyebabkan staf setia adalah kegembiraan apabila bekerja. Staf yang gembira akan menunjukkan prestasi yang cemerlang serta memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
Staf merupakan aset kepada organisasi dan bukan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja yang komited terhadap kerja mereka.
Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim, untuk mengekalkan kesetiaan staf adalah dengan mewujudkan rasa gembira di tempat kerja. UiTM telah mengambil inisiatif dengan menjalankan penyelidikan berkaitan Indeks Kegembiraan.
Hasil kajian menunjukkan Indeks Kegembiraan UiTM bagi tahun 2018 adalah 71 peratus dan UiTM sebagai majikan adalah 83.8 peratus. Ini menunjukkan bahawa staf UiTM mempunyai tahap kegembiraan yang memuaskan dan kadar peratusan yang meletak jawatan adalah minimum.
Sebenarnya, universiti merupakan sebuah organisasi penting dalam agenda transformasi negara. Justeru, pengekalan staf yang setia kepada universiti memberikan kesan yang positif atau sebaliknya kepada pihak pengurusan. Staf yang setia mempunyai komitmen tinggi, bertanggungjawab, jujur serta ikhlas melakukan setiap tugasan.
Kesetiaan staf ada kaitannya dengan komitmen kerja. Komitmen boleh didefinisikan sebagai keinginan seseorang untuk kekal bersama organisasi iaitu suatu ikatan psikologi antara pekerja dan organisasi.
Bagaimanapun, terdapat segelintir staf yang setia tetapi tidak mempunyai komitmen kerja yang tinggi.
Staf berkenaan mungkin mempunyai masalah kerja dan terlibat dalam kes-kes tatatertib seperti salah guna kuasa, terlibat aktiviti jenayah, mulut jahat dan suka memburuk-burukkan organisasi dan orang lain, tiada semangat berpasukan, tidak hadir bertugas tanpa kebenaran serta menjalankan tugasan sambil lewa.
Staf sebegini dikategorikan sebagai mendatangkan masalah dan liabiliti kepada organisasi.
Berdasarkan kajian"faktor yang mempengaruhi kesetiaan terhadap organisasi dalam kalangan penjawat awam” (2006) telah dinyatakan beberapa langkah untuk mengekalkan staf iaitu sokongan pengurusan dari segi penghargaan dan sikap ambil berat pihak pengurusan terhadap staf, pembangunan kerjaya yang jelas, program latihan dan pembangunan staf disediakan.
Selain ganjaran yang setimpal dan jaminan kerja yang stabil, langkah proaktif perlu difikirkan untuk mengurangkan staf yang menjadi liabiliti supaya ia tidak memberi kesan kepada produktiviti organisasi tersebut.
Beberapa mekanisme digubal untuk mengurangkan peratusan staf bermasalah bergantung kepada organisasi tersebut termasuk universiti yang berpandukan kepada Dasar Pemisah (Exit Policy) Dalam Perkhidmatan Awam.
Selain itu, pemerkasaan fungsi dan peranan Unit Integriti di semua universiti, jika ada, perlu dipertingkatkan bagi proses pencegahan dan pemantauan di peringkat operasi.
Justeru itu, tidak dinafikan kesetiaan staf merupakan nadi kecemerlangan universiti.
* Salmiwati Othman ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara