Komitmen kerajaan bangunkan Gaza tidak jejas pembangunan negara - ABIM

Iklan
Kemusnahan akibat serang 15 bulan Zionis ke atas Gaza. Foto AFP Kemusnahan akibat serang 15 bulan Zionis ke atas Gaza. Foto AFP
Kemusnahan akibat serang 15 bulan Zionis ke atas Gaza. Foto AFP

SHAH ALAM - Komitmen Kerajaan Madani dalam membantu proses pembinaan semula masjid dan sekolah di Gaza tidak akan sesekali menjejaskan pelan pembangunan negara.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya menegaskan inisiatif ini hakikatnya mencerminkan komitmen Malaysia terhadap solidariti antarabangsa dan bantuan kemanusiaan, selaras prinsip Islam yang menganjurkan keprihatinan terhadap umah sejagat.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan pelbagai dasar dan program bagi membantu rakyat serta membangunkan ekonomi negara.

Tambah Ahmad Fahmi, antara inisiatif tersebut adalah kerangka ekonomi Madani yang bertujuan menstruktur semula ekonomi negara dengan tumpuan memperkasa rakyat dan memastikan pertumbuhan inklusif.

Iklan

"Selain itu, kerajaan tetap melaksanakan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk membantu meringankan bebas kos sara hidup dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).

"Begitu juga dengan program Bantuan Asas Persekolahan (BAP) untuk rakyat Malaysia melakukan persiapan sempena sesi persekolahan akan datang.

Iklan

"Usaha aktif membela karamah insaniah warga Gaza serta Palestin keseluruhan juga tidak menjejaskan program-program pembangunan infrastruktur penting seperti sekolah dan hospital di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Anwar mengumumkan melalui Projek Bandar Wakaf, Malaysia akan membina masing-masing sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan ditanggung penduduk di sana.

Katanya, Kerajaan Malaysia dan Jepun juga sepakat membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Bagaimanapun, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan menggesa pemimpin negara memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, sebelum memulakan rancangan membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menjelaskan ABIM tekad mempertahankan usaha Perdana Menteri membantu perjuangan Palestin dengan langkah itu perlu disokong kerana tidak sesekali menjejaskan pembangunan ekonomi Malaysia.

Sebaliknya, beliau melihat usaha ini turut digembleng bersama sumbangan peribadi rakyat Malaysia yang prihatin serta memperlihatkan solidariti nasional dalam membantu rakyat Palestin yang tertindas.

"Dalam keadaan geopolitik antarabangsa semakin tidak menentu, pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin bukan sahaja memperkukuhkan prinsip keadilan sejagat tetapi juga menempatkan negara ini pada kedudukan strategik di peringkat antarabangsa.

"Sokongan terhadap perjuangan ini mengukuhkan peranan Malaysia sebagai negara yang dihormati dalam diplomasi global serta membuka peluang kerjasama strategik dengan negara-negara lain.

"Justeru usaha serta dasar luar negara Malaysia membabitkan perjuangan umat Islam di Palestin serta Gaza tidak wajar lagi dipertikaikan atau cuba diremehkan atas alasan dangkal yang bersandarkan persepsi negatif semata-mata," katanya.