SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Anthony Loke bersama semua individu berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat yang akan bermula pada minggu kedua Januari ini.
"Kita pernah panggil MAHB sebelum ini untuk membincangkan mengenai beberapa perkara dan bagi pengurusan lapangan terbang awam, PAC sudah pun menyediakan terma rujukan bahawa prosiding yang akan menjurus kepada semua isu termasuk penyahsenaraian MAHB.
"Ia daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia sebagai pemilikan Konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) diterajui Khazanah Nasional Berhad selain berkaitan isu harga tiket yang tinggi serta isu kelewatan pemasangan Aerotrain.
"Beberapa pihak yang akan dipanggil sudah pun disenaraikan dan insya-ALLAH pada minggu kedua bulan ini kita jangka akan mulakan prosiding terbabit.
"Saya tidak menolak kemungkinan memanggil juga Menteri Pengangkutan kerana terdapat masalah berkaitan perkhidmatan aerotrain, jadi penting untuk kita maklum balas serta keterangan daripada beliau,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Khidmat Srikandi Bersatu Melaka yang disempurnakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Taman Tambak Paya Harmoni, Ayer Molek pada Jumaat.
Turut hadir, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Sebelum ini, beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.
MCA turut meminta kerajaan menyiasat segera penjualan saham syarikat penerbangan awam itu, sekali gus menyaksikan KWSP hanya mempunyai pegangan saham lima peratus dalam MAHB.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas yang bermula pada Isnin ini sehingga 6 Mac, PAC sudah menjadualkan kira-kira 45 mesyuarat termasuk lima prosiding baharu.
Jelasnya, prosiding tersebut adalah berkaitan dengan Pembangunan Tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tambah beliau, prosiding lain adalah berkaitan cadangan Perolehan Keretapi Elektrik (EMU) secara pajakan di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), Perbadanan Aset Kereta api (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan (MOF).
Prosiding lain diteruskan dengan, MAHB, Khazanah Nasional dan KWSP; Pelaburan Domestik Khazanah Nasional di bawah MOF dan Khazanah Nasional serta peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di bawah MOF, Kementerian Kesihatan (MOH) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
"Pada tahun ini, PAC menyasarkan bagi membentangkan sebanyak 25 laporan dengan mengadakan lebih 150 mesyuarat membabitkan beberapa isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan juga Laporan Ketua Audit Negara berbanding 148 mesyuarat dengan 22 laporan pada tahun lalu.
"Serentak itu, berhubung pelaburan Khazanah Nasional yang rugi, PAC sudah menetapkan prosiding berhubung Pelaburan Domestik Khazanah untuk mendapatkan penjelasan dan keterangan daripada syarikat dana kekayaan negara terbabit," katanya.