KUANTAN - Gara-gara takut ditangkap, seorang mahasiswa berdepan kerugian RM147,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai platform e-dagang dan polis.
Lelaki berusia 20 tahun itu panik akibat diugut suspek yang menyamar sebagai polis dan bertindak memindahkan wang simpanan dan menyerahkan barang kemas milik ibunya kepada seorang wanita tidak dikenali.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 23 Januari ini apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengaku sebagai wakil daripada sebuah platform e-dagang
"Mangsa diberitahu telah mengiklankan barangan yang menyalahi undang-undang, seterusnya panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
"Suspek kemudian dimaklumkan mangsa akan disiasat kerana terlibat dalam pengubahan wang haram dan boleh ditangkap," katanya pada Sabtu.
Yahaya memaklumkan, suspek turut meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi mengelakkan mangsa ditangkap dan membersihkan rekod mangsa daripada kes jenayah.
Jelasnya, bagi tujuan itu, mangsa telah membuat pemindahan sebanyak RM 47,000.00 ke dalam tiga akaun berbeza.
"Pada Khamis, mangsa telah diarahkan untuk menyerahkan barang kemas milik emaknya dengan nilai anggaran RM100,000 kepada seorang perempuan yang tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya.
"Mangsa mula menyedari ditipu apabila ibu mangsa mempersoalkan kehilangan barang kemas dan wang simpanan dalam akaun bank milik ibunya berkurangan," ujarnya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.