Gaji minimum RM1,700 ringankan beban pekerja

Iklan
Perintah gaji minimum RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa hari ini disifatkan sebagai satu langkah signifikan dalam meringankan beban pekerja serta meningkatkan kualiti kehidupan mereka di seluruh negara. Foto hiasan Perintah gaji minimum RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa hari ini disifatkan sebagai satu langkah signifikan dalam meringankan beban pekerja serta meningkatkan kualiti kehidupan mereka di seluruh negara. Foto hiasan
Perintah gaji minimum RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa hari ini disifatkan sebagai satu langkah signifikan dalam meringankan beban pekerja serta meningkatkan kualiti kehidupan mereka di seluruh negara. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa hari ini disifatkan sebagai satu langkah signifikan dalam meringankan beban pekerja serta meningkatkan kualiti kehidupan mereka di seluruh negara.

Bagi pekerja di sektor perkhidmatan pelanggan Nur Fatihah Sophian, 27, keputusan ini memberikan kelegaan yang amat diperlukan, terutama bagi mereka yang menetap di ibu kota dan bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Iklan
Iklan

"Dengan gaji sebelum ini, saya rasa memang tak cukup sebab perlu bayar sewa rumah, kos pengangkutan, kadang-kadang sampai tak cukup nak beri duit kepada ibu bapa, jadi bila ada kenaikan macam ini dapat membantu menampung perbelanjaan,” katanya kepada Bernama.

Eksekutif Komunikasi Korporat di sebuah syarikat perladangan Siti Khadijah Amir Hamzah, 26, menzahirkan rasa syukur atas pelaksanaan ini, menyifatkannya sebagai satu langkah permulaan yang baik bagi pekerja menjelang 2025.

Iklan

"Mungkin pada masa hadapan, gaji minimum ini boleh dinaikkan lagi, terutama bagi pekerja di Kuala Lumpur yang berdepan kos hidup yang tinggi. Namun, kenaikan ini perlu diseimbangkan dengan tahap pendidikan, produktiviti serta faktor-faktor lain," ujarnya.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan perintah ini menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih termasuk majikan dalam sektor profesional tanpa mengambil kira bilangan pekerja mereka.

Iklan

Bagi majikan dengan kurang daripada lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ini bermula pada 1 Ogos depan untuk memberi mereka ruang menyesuaikan struktur gaji serta operasi syarikat.

Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 4.37 juta pekerja di negara ini selaras dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan aspek keadilan sosial serta kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Pengurus perniagaan di sebuah syarikat keselamatan siber, Shamin Merrissa, 33, menyambut baik langkah ini dan menegaskan bahawa kadar gaji minimum perlu dikaji secara berkala agar kekal relevan dengan perubahan ekonomi.

"Sudah tiba masanya warga kerja Malaysia, terutama golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan, menerima gaji setimpal dengan kos sara hidup semasa.

"Kami menyokong penuh pelaksanaan ini dan akan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap perintah gaji minimum," katanya.

Dalam pada itu, usahawan Mohd Fahmy Ishak, 37, menyifatkan pelaksanaan ini sebagai langkah proaktif kerajaan dalam meningkatkan kuasa beli pekerja, membasmi kemiskinan dan memperbaiki kualiti hidup rakyat.

Sebagai pemilik pusat tuisyen dengan lebih 11 tahun pengalaman, Mohd Fahmy berkata majoriti pekerjanya telah pun menerima gaji melebihi kadar minimum yang ditetapkan.

"Bagi syarikat saya, pelaksanaan ini tidak memberikan impak yang besar kerana pekerja kami sudah berada pada skala gaji minimum yang munasabah. Namun, kami tetap perlu menyesuaikan struktur gaji sedia ada bagi memastikan keadilan dan konsistensi dalam organisasi," jelasnya.

Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 ini menandakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup pekerja di Malaysia, selari dengan matlamat pembangunan ekonomi negara ke arah masa depan yang lebih mampan. - Bernama