ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan wujudnya kartel yang menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import menyebabkan ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran.
Muhammad Sanusi berkata, beliau sering kali mendedahkan mengenai isu terbabit namun dinafikan oleh kementerian.
"Ada kartel kawal benih, kawal harga belian padi dan jualan beras, menipu petani tapi mereka marah, cakap saya tak betul. Mereka (kerajaan) tahu tak, geng kartel ini tukar bungkusan beras tempatan kepada beras import? Takkan kerajaan tak tau, sedangkan orang kampung pun tau hal ini.
"Dekat beras tak ada ditulis beras import atau tempatan, tapi (tulisan) ada di kampit. Mereka tukar bungkusan daripada harga RM23 boleh jual RM43. Kalau tak percaya sila periksa," katanya ketika menyampaikan ceramah pada majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kompleks PAS Kedah di sini pada Jumaat malam.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, isu berkenaan akan selesai sekiranya urusan tanaman dan industri padi diberikan kepada kerajaan negeri.
"Mereka kata Menteri Besar buat apa beras hilang sebab padi tanam di Kedah? Cuba mereka bagi kuasa beras pada saya kerana kerajaan negeri tidak ada kuasa pada beras. Apabila ditubuhkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 30 Jun 1970, agensi ini mengawal kawasan tanaman padi.
"Kemudian ada macam-macam agensi kawal industri padi seperti lesen beli padi, simpan padi, kilang padi. Kemudian ada lesen simpan dan jual beras, semua ada lesen di bawah kementerian," katanya.
Sanusi juga mendakwa, tindakan memberikan kuota membekal anak benih padi kepada pengilang juga tidak sepatutnya berlaku kerana tiada jaminan kualiti.
"Orang yang tidak ada petak bendang tapi dapat kuota bekal benih padi, dia nak tanam di mana?. Mereka juga dapat kuota banyak. Kita tegur dah, kata tak betul ni dia mana ada bendang, ada kilang saja.
"Padi tidak ditanam di kilang, padi ditanam di sawah. Siapa yang ada sawah patut dapat kuota anak benih, tapi beri juga kuota pada kilang. Kilang tu nak cari anak benih di mana?," tegasnya.