Majikan tak wajar pindahkan kos kenaikan operasi kepada pengguna - MEF

Iklan
Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan boleh membawa kepada inflasi yang lebih tinggi serta mengurangkan daya saing. (Foto hiasan) Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan boleh membawa kepada inflasi yang lebih tinggi serta mengurangkan daya saing. (Foto hiasan)
Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan boleh membawa kepada inflasi yang lebih tinggi serta mengurangkan daya saing. (Foto hiasan)

SHAH ALAM - Majikan diingatkan untuk tidak memindahkan kos kenaikan operasi susulan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu kepada pengguna.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ini kerana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan boleh membawa kepada inflasi yang lebih tinggi serta mengurangkan daya saing.

Iklan
Iklan

Namun menurutnya, pelbagai strategi boleh diteroka bagi mengelakkan berlakunya pemindahan kos kepada pengguna.

"Antaranya dengan meningkatkan kecekapan operasi, melabur dalam peningkatan kemahiran pekerja serta menerima pakai teknologi baharu untuk memperbaiki operasi perniagaan.

Iklan

"Namun, MEF mahu pelaksanaan kenaikan gaji ini perlu dilakukan secara seimbang bagi memastikan perniagaan, khususnya PMKS, dapat menyesuaikan diri tanpa mengalami tekanan kewangan yang berlebihan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa pada Sabtu menyaksikan seramai 4.37 juta pekerja menerima gaji minimum RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini.

Iklan

Syed Hussain berkata, perlaksanaan gaji minimum baharu mencerminkan komitmen majikan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang mampan dan inklusif, di mana setiap pekerja dihargai.

Justeru, semua majikan digesa mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu itu bagi memastikan perniagaan di Malaysia dapat menarik tenaga kerja, meningkatkan produktiviti pengeluaran serta perkhidmatan, sekali gus menyumbang kemajuan ekonomi negara.

"Namun kerajaan diminta untuk terus memberikan sokongan yang sesuai kepada majikan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bentuk insentif kewangan dan program latihan bagi membolehkan perniagaan menyesuaikan diri dengan keperluan baharu itu.

"MEF akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pekerja, kesatuan sekerja, dan kerajaan bagi memastikan peralihan berjalan lancar dan pertumbuhan ekonomi yang positif untuk semua," katanya.

Pada masa sama beliau berkata, agensi kerajaan yang mempunyai kontrak dengan penyedia perkhidmatan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta syarikat besar tempatan dan asing digesa untuk segera menyemak semula kontrak sedia ada.

Ujarnya, ia bagi memastikan penyedia perkhidmatan dapat memenuhi kewajipan mereka dalam mematuhi kadar gaji minimum RM1,700.

"Alasan bahawa kontrak ditandatangani dan tidak boleh disemak semula tidak lagi boleh diterima. Semua rakyat Malaysia perlu bersatu bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum baharu ini berjaya.

"Banyak PMKS memerlukan sokongan dan pelarasan segera daripada kadar gaji minimum RM1,500 kepada RM1,700 untuk baki tempoh kontrak yang masih berjalan," tegasnya.