KOTA KINABALU - Program Jualan Rahmah Madani diteruskan pada tahun ini dengan tambahan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk diadakan setiap bulan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
Perkara itu dikongsikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali ketika berucap pada Jualan Rahmah di Taman Keramat, Likas pada Sabtu.
"Untuk tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menambah peruntukan dari RM100 juta kepada RM200 juta untuk melaksanakan program ini di semua DUN.
"Barang-barang yang dijual itu ada subsidi daripada kerajaan dengan matlamat untuk membantu meringankan sedikit beban sara hidup rakyat, jadi kita akan buat di semua DUN tiap-tiap bulan," katanya.


Tambah Ahli Parlimen Papar itu lagi, untuk mengetahui jadual program tersebut orang ramai boleh mendapatkan maklumat di laman sesawang KPDN.
"Jadual kita sudah paparkan lebih awal, jadi boleh semak dan rancang di mana jualan itu diadakan untuk rakyat berbelanja. Jadi jangan lepaskan peluang," katanya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan selain program yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan, terdapat banyak lagi program turut disediakan oleh kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri ada melaksanakan program 'outreach' bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan muda yang dikendalikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Menerusi program yang sudah memasuki tahun keempat ini, kerajaan negeri memberikan bantuan peruntukan secara serta merta sebanyak RM500 kepada usahawan muda belia kita.
"Kerajaan Persekutuan dan negeri sebenarnya ada pelbagai geran tetapi perlu dibuat melalui permohonan namun menerusi program outreach ini, wang RM500 diberikan segera untuk anak-anak muda kita yang mahu berniaga," katanya.
Beliau sebelum itu hadir bagi menyempurnakan Jualan Rahmah di kawasan taman tersebut yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Kinabalu merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komuniti, Datuk Chan Foong Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas merangkap Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tan Lee Fatt.