KOTA BHARU - Pembangkang sepatutnya tidak perlu mempertikaikan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangunkan semula Gaza yang kini musnah selepas keganasan Israel.
Naib Angkatan Wanita Parti Amanah Nasional (Awan), Dr Hafidzah Mustakim berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar juga berjaya menyelaraskan bantuan dengan pihak berkuasa agama di seluruh negara secara sistematik untuk dihantar ke Gaza.
Menurut Hafidzah, antara tindakan tepat Perdana Menteri ialah turut meminta Jepun bersama membantu membangunkan semula Gaza.
"Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan ramai pemimpin dunia yang membolehkan kerjasama dilakukan bagi membantu penduduk Palestin," katanya.
Hafidzah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jom Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Indera Petra pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama memberitahu, Kerajaan Perpaduan menunjukkan semangat untuk membantu umat Islam yang menghadapi kesukaran dan perlu meneruskan kehidupan.
"Sebagai contoh, umat Islam masih perlu membayar zakat walaupun berada dalam kesusahan. Melalui zakat fitrah kita diajar untuk menyumbang kepada orang lain," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Anwar menempelak pihak tertentu yang mempertikaikan usaha kerajaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.
Menurut Anwar, keputusan yang dilakukan beliau ketika ini dianggap kontroversi bagi sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan.
Seramai 500 murid menerima sumbangan pakaian sekolah dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).