IPOH - Kerajaan Perak akan memudah cara segala keperluan dalam memastikan pelaksanaan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang dirancang berjalan lancar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya mengalu-alukan peruntukan yang diluluskan kerajaan persekutuan berjumlah RM60 juta untuk tujuan tersebut.
Menurutnya, melalui peruntukan itu naik taraf LTSAS dapat meningkatkan kapasiti sedia ada dan menerima lebih banyak penerbangan antarabangsa.
"Jadi dengan naik taraf itu, kita percaya, kita akan dapat membawa masuk lebih banyak penerbangan dari luar negara. Sekarang kita ada daripada Singapura tiga kali sehari.
"Tapi saya percaya usaha-usaha sedang dibuat oleh pihak-pihak yang berkenaan untuk membawa masuk penerbangan dari negara luar," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan Rumah Perakku Pangsapuri Raflesia Santorini@Botani di Bandar Seri Botani di sini pada Sabtu.
Saarani berkata, tempoh naik taraf tersebut tidak dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada konsultan yang terlibat di dalam projek tersebut.
Menurutnya, projek tersebut akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri hanya membantu memudah cara pelaksanaannya.
Jelasnya, ia termasuklah berbincang untuk mendapatkan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) berhampiran lapangan terbang itu.
Saarani berkata, kerajaan negeri sedia mencari kawasan lain untuk menggantikan tanah yang akan digunakan bagi naik taraf LTSAS.
Pada Khamis, media melaporkan kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi kerja-kerja menaik taraf landasan LTSAS di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut diluluskan bagi tujuan melebarkan lagi landasan sedia ada bagi mengoptimumkan penggunaan lapangan terbang berkenaan.