SHAH ALAM - Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa tampil menyokong inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan semula Gaza bersama Kerajaan Jepun.
Beliau menegaskan, semua pihak perlu bersikap adil dan tidak menolak sesuatu hanya kerana perbezaan politik.
"Jangan kerana kita tidak sukakan kerajaan atau pemimpin, maka kita mesti menolak semua perkara.
"Apa salahnya yang baik kita kata baik, yang buruk kita katakan buruk. Kebencian mesti ada batasnya," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Anwar pada Rabu memaklumkan, kerajaan bersama Kementerian Luar telah mendapat kepastian untuk menyegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza, Palestin.
Katanya, usaha dilakukan bersama Kerajaan Jepun untuk menubuh dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur membangunkan Gaza termasuk dengan pembinaan infrastruktur termasuk sekolah, rumah sakit dan masjid.
Malaysia kini dalam proses rundingan dengan negara Jepun untuk mengadakan satu persidangan untuk memikirkan kaedah bagi mengumpul dan merancang pembangunan semula Gaza.
Perkembangan tersebut menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang dilaporkan menggesa pemimpin negara memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, sebelum memulakan rancangan membangunkan semula Gaza.
Katanya, perhatian perlu diberikan kepada negara terutamanya kepada keadaan yang menyedihkan seperti masalah di sekolah dan hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadat.
Menyanggah reaksi tersebut, Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, rakyat Palestin perlu segera kembali kepada kehidupan biasa setelah wilayah itu kehilangan banyak hospital, sekolah dan lain lain prasarana akibat keganasan rejim zionis.
"Kerajaan mereka tentu tidak berupaya. Masyarakat dunia harus tampil membantu.
"Soal bagaimana dan dana mana nak digunakan adalah perkara kedua. Banyak warga individu dan korporat yang boleh membantu, Insya-ALLAH," katanya.