SHAH ALAM - Pemuda Amanah Nasional menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar segera memasukkan kecerdasan buatan (AI) sebagai subjek teras dalam kurikulum sekolah dan universiti bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam arus revolusi teknologi global.
Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faris Arriffin berkata, langkah ini penting bagi membolehkan Malaysia menjadi peneraju dalam pembangunan dan inovasi AI di rantau ini.
"Negara seperti China, Singapura, Korea Selatan, Estonia dan Finland telah mengambil langkah proaktif dengan mewajibkan pendidikan AI dalam sistem pembelajaran mereka.
"Langkah ini mampu melahirkan generasi yang bukan sekadar pengguna teknologi tetapi juga pencipta dan inovator," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, dengan perkembangan pesat teknologi AI seperti ChatGPT, DeepSeek, Qwen dan Gemini serta nilai pasaran AI global yang dijangka mencecah AS$15.7 trilion menjelang 2030 menurut laporan PwC, Malaysia perlu bertindak pantas dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dalam landskap digital yang semakin mencabar.
Menurutnya, pendidikan AI perlu diperkenalkan sebagai subjek wajib dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti bagi membina asas pemikiran digital sejak awal.
"Pendidikan AI bukan sahaja membekalkan pelajar dengan kemahiran teknikal, tetapi juga membantu mereka memahami konsep etika, implikasi sosial dan potensi AI dalam pelbagai bidang," ujarnya.
Pemuda Amanah turut menyarankan kerajaan untuk membangunkan makmal AI di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta menjalin kerjasama strategik dengan syarikat teknologi utama seperti Google, Microsoft dan Nvidia yang telah melabur lebih AS$6 bilion dalam pusat data di Asia Tenggara.
"Langkah ini akan mempercepatkan pembangunan ekosistem AI tempatan dan membolehkan Malaysia memanfaatkan kepakaran antarabangsa dalam memperkukuh daya saing negara," katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan peruntukan dana yang mencukupi bagi memastikan pembangunan kurikulum AI berjalan lancar.
"Sekurang-kurangnya RM500 juta setahun perlu diperuntukkan untuk membangunkan kurikulum, melatih tenaga pengajar dan memperkukuh infrastruktur pendidikan digital di sekolah serta universiti.
"Langkah ini sejajar dengan inisiatif di United Kingdom yang telah memperuntukkan £100 juta setahun untuk pendidikan AI bagi memastikan sistem pendidikan mereka kekal relevan dengan perkembangan teknologi," jelasnya.
Tambahnya, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi hab inovasi AI di rantau ini, namun tanpa strategi pendidikan yang jelas dan pelaksanaan yang menyeluruh, negara berisiko terus bergantung kepada teknologi asing tanpa keupayaan untuk membangunkan teknologi sendiri.
"Oleh itu, Pemuda Amanah menyeru KPM dan KPT agar bertindak segera dalam menyusun dasar pendidikan AI yang komprehensif.
"Generasi muda Malaysia perlu diperkasakan bukan sekadar sebagai pengguna, tetapi sebagai pencipta dan peneraju teknologi AI bagi memastikan negara terus maju dalam era digital yang semakin mencabar ini," katanya.