DAMSYIK - Kira-kira 900,000 penduduk kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di barat laut Syria sejak Disember lalu.
Gelombang perpindahan tersebut adalah yang terbesar sejak perang saudara tercetus pada 2011 selepas tentera rejim Presiden Bashar al-Assad yang disokong Rusia meningkatkan operasi menyasarkan kubu terakhir kumpulan pemberontak di wilayah Idlib dan Aleppo.
"Kemudahan kesihatan, sekolah, kawasan penempatan, masjid dan pasar menjadi sasaran bedilan. Bencana kemanusiaan abad ke-21 ini boleh dielakkan jika anggota Majlis Keselamatan PBB dan mereka yang berpengaruh mengatasi kepentingan individu dan meletakkan kepentingan kolektif sebagai keutamaan.
"Pilihan tunggal yang ada adalah pelaksanaan gencatan senjata," kata Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan PBB, Mark Lowcock awal minggu lalu.
Ketika ini, kebanyakan pelarian tersebut turut berdepan cuaca sejuk melampau di kem penempatan yang menjadi tempat tinggal sementara golongan terbabit.
"Segelintir wanita dan kanak-kanak terpaksa tidur di luar khemah kerana kem yang sesak. Demi meneruskan hidup, ada ibu yang terpaksa membakar sebarang objek untuk memastikan anak mereka tidak kesejukan. Paling menyedihkan, seorang bayi berusia tujuh bulan dilaporkan mati kesejukan," ujar Lowcock lagi.
Dianggarkan, 170,000 pelarian terbabit juga terpaksa tinggal di tempat terbuka walaupun suhu ketika ini berada di bawah sifar Celsius dan salji menyelubungi di beberapa kawasan.
Difahamkan, wilayah Idlib termasuk beberapa bahagian Aleppo didiami kira-kira tiga juta penduduk yang menyaksikan separuh daripada mereka terpaksa berpindah kerana konflik yang semakin meningkat.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet menggesa semua pihak menyediakan koridor kemanusiaan di wilayah bergolak tersebut.
"Tiada tempat perlindungan yang selamat ketika ini memandangkan serangan tentera kerajaan dilancarkan secara berterusan. Saya bimbang akan lebih ramai orang terbunuh. Bagaimana serangan tidak berperikemanusiaan seperti itu boleh dibiarkan berlaku?" menurutnya dengan nada kesal.
Data didedahkan Kumpulan Pemerhati untuk Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mendapati lebih 400 orang awam terbunuh sejak krisis kembali memuncak pada pertengahan Disember lalu.
Ketika ini, Turki yang telah menjadi tuan rumah utama pelarian Syria terdiri daripada lebih 3.5 juta orang enggan membuka sempadannya untuk menghadapi gelombang baharu golongan tersebut. - Agensi