JOHOR BAHRU - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan solidariti penuh terhadap 13 peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah baru-baru ini, yang dilaporkan dipanggil polis pada Jumaat.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, pihaknya berharap agar tiada sebarang bentuk intimidasi atau penindasan dilakukan terhadap mereka.
"Saya ambil maklum seramai 13 peserta terutama terdiri daripada mahasiswa termasuk dari Sabah dan Sarawak dipanggil oleh polis bagi memberi keterangan berhubung Himpunan Rakyat Benci Rasuah.
"Saya menyatakan solidariti penuh kepada mereka semua dan mendesak supaya polis tidak melakukan sebarang intimidasi terhadap mereka. Ini kerana perhimpunan sebegini adalah proses biasa dalam satu negara demokrasi dan jelas diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sungguhpun saya akui ianya sebahagian dari tatacara biasa pihak Polis selari dengan Akta Perhimpunan Aman 2012, saya berpandangan pihak Polis tidak perlu mengambil tindakan keras dan menekan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fadhli Umar mengulangi pendirian Pemuda Amanah agar kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat menyemak semula peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman.
"Saya juga ulangi pendirian Pemuda Amanah supaya kerajaan khususnya KDN dapat menyemak semula peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman supaya selari dengan semangat amalan demokrasi dan kebebasan berhimpun seperti mana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Pindaan yang substantif terutamanya berkenaan pemberian notis perlulah dibentang dalam Parlimen selewatnya akhir tahun ini," ujarnya.
Pada Jumaat, Penyelaras mobilisasi penganjur perhimpunan, Tobey Qi-Sean dilaporkan berkata, menerima panggilan daripada polis.
Katanya, polis menyenaraikan 13 nama mahasiswa yang dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, jam 1 tengah hari, Ahad.
Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan pada 25 Januari lalu dan mereka berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka.
Sekretariat Himpunan Rakyat Benci Rasuah menuntut kerajaan melaksanakan tiga perkara bagi memastikan politik Malaysia bersih dan bebas daripada rasuah.
Setiausaha Sekretariat, Zaim Zulkifli berkata, tiga tuntutan itu melibatkan pemisahan Jabatan Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dan mewujudkan Akta Pendanaan Politik.
Menurutnya, kerajaan pada masa kini didakwa tidak komited terhadap isu berkaitan rasuah seperti dilaungkan sewaktu menjadi pembangkang dulu.