Warda gesa Pas henti politik fitnah

Iklan
Siti Nur Aishah Siti Nur Aishah
Siti Nur Aishah

SHAH ALAM - Wanita Muda Amanah (Warda) menegaskan bahawa politik harus berlandaskan nilai Islam dengan prinsip keadilan, kasih sayang dan kebenaran.

Timbalan Ketua Wanita Muda Amanah (Warda) Nasional, Siti Nur Aishah Mohd Zain berkata, politik bukan sekadar perebutan kuasa, sebaliknya bertujuan membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan prinsip yang baik.

Iklan
Iklan

"Inilah politik rahmah yang digagaskan Islam, selari dengan pengutusan Rasulullah SAW. Amanah berpegang teguh kepada prinsip ini demi mempertahankan kesucian Islam serta memartabatkan negara.

"Selain tegas dalam dasar Islam, Amanah turut menitikberatkan pendekatan dakwah dan maqasid syariah bagi melahirkan masyarakat madani yang sejahtera," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau menekankan bahawa Islam mengutamakan adab dan akhlak mulia seperti yang ditunjukkan Rasulullah SAW yang digelar Al-Amin.

Sehubungan itu, Amanah menolak sekeras-kerasnya budaya politik fitnah, adu domba dan kebencian dalam politik tanah air.

Iklan

"Amanah berada dalam arena politik untuk memajukan rakyat melalui dasar yang membawa kebaikan. Kami akan terus mencari solusi bagi membela kebajikan rakyat dan mewujudkan negara yang sejahtera untuk semua.

"Namun, kami amat kesal apabila Pas masih menggunakan fitnah sebagai alat politik dan lebih sibuk menyerang daripada membina," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Pas yang menggunakan pendekatan bertentangan dengan ajaran Islam.

"Jika benar mahu menegakkan Islam, mengapa menggunakan cara yang jelas dilarang dalam agama? Adakah Pas sudah ketandusan idea dan produk untuk ditawarkan kepada rakyat?

"Warda percaya bahawa anak muda menolak budaya fitnah. Pas perlu menghentikan politik adu domba yang tidak berkesudahan kerana Islam tidak akan dipandang tinggi jika perbuatan yang ditegah dalam agama terus dihalalkan," ujarnya.