SHAH ALAM - Pengembalian sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) disifatkan sebagai suatu kesilapan.
Menerusi Debat Sinar Harian yang berlangsung malam semalam, pendebat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mewakili kerajaan, Anis Afina Hassan Sanusi berkata, melalui Laporan program Pentaksiran dan Kajian Perbandingan Antarabangsa (PISA) pada 2007 menunjukkan Malaysia sekadar memperoleh skor sebanyak 490 dan lebih teruk pada 2011 dengan 430.
Menurutnya, ia memberi gambaran bahawa dalam PISA yang diambil oleh murid-murid yang mengadaptasi PPSMI sebenarnya mengalami ketidaktentuan perolehan mata.
"Ini membuktikan berlaku kecelaruan metod dalam menguasai Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris," katanya pada Debat Sinar Harian Ala Parlimen bertajuk 'Kembalikan PPSMI Satu Kesilapan?' di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf di sini malam semalam.
Debat itu menampilkan UIAM mewakili kerajaan, manakala Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selaku pembangkang.
Selain Anis Afina, wakil kerajaan menampilkan Muhammad Ilham Hafiz Azmi dan Muhammad Wafi Anwar Roslan manakala penuntut UnisZA iaitu Muhammad Izzudin Kamarulzaman, Muhammad Zulzarif Mohd Zakuan dan Muhammad Amierul Fahmie Mohamad Latif.
Anis Afina berkata, menurut mantan Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof pada 2011 menyatakan pencapaian Trends in International Mathematics and Science (TIMSS) purata skor bagi Malaysia hanyalah pada kadar 426.
"Pada ketika ini, dasar PPSMI dilaksanakan, namun apa yang berlaku sewaktu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) diperkenalkan menunjukkan pada 2015 sebanyak 471 purata skor diperoleh.
"Ini menunjukkan perolehan ilmu dalam bidang Sains dan Matematik sebenarnya tidak dibatasi oleh bahasa ibunda kita sendiri.
"Begitu juga dalam satu analisis oleh Asean Today menunjukkan penguasaan mendalam dalam ilmu kemahiran dan nilai amat penting bagi mencapai status negara maju yang disasarkan oleh PPSMI," katanya.
Menurutnya, isu kesediaan pelaksanaan PPSMI menjadi antara punca mengapa dasar tersebut dilihat gagal.
"Hujah ini bukan untuk membuka pekung di dada guru-guru kita.
"Dalam kajian yang dilakukan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk 'Exploring English Language Learning and Teaching Malaysia' menunjukkan proses pengajaran dalam bahasa Inggeris memperlihatkan bahawa guru-guru sukar untuk mengajar dalam bahasa yang mereka kurang fasih.
"Akhirnya mereka mencari jalan pintas supaya proses pengajaran dan pembelajaran itu dijalankan dengan lebih baik agar penerimaan sampai kepada murid-murid. Dalam keadaan ini, telah berlaku campur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam pengajaran," katanya.
Jelasnya, pelajar di luar bandar juga berdepan masalah pembelajaran kerana kebanyakan mereka berada pada tahap Band enam dan tujuh.
Beliau berkata, ia berdasarkan kertas kajian Assassin Urban Rural Student and Competency yang menyatakan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di luar bandar berada pada tahap rendah.
"Ini membuktikan dalam akses kepada teknologi pembangunan sains dan teknologi mereka lemah.
"Pada akhirnya kami percaya pengembalian PPSMI satu kesilapan kerana pada akhirnya kita tidak mahu menganiaya ratusan ribu anak bangsa hanya kerana kita korbankan identiti negara yang tidak patut dikorbankan," katanya.