SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertindak melangkaui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menghentikan prosiding perbicaraan serta-merta terhadap 12 individu tempatan yang didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)
Exco Armada Bersatu, Muzzammil Ismail berkata, tindakan Tommy itu juga memberi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.
Selain itu menurutnya, Tommy dilihat mengganggu siasatan dan dakwaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai bukti pensabitan yang kuat dalam kes berkenaan.
"Peguam Negara bertindak tidak selari dengan Menteri Dalam Negeri dan hanya akan menyebabkan kredibiliti Tan Sri Muhyiddin boleh dipertikai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, perkara lain yang lebih besar adalah persepsi rakyat terutama orang Melayu Islam terhadap kerajaan sekarang semakin menurun.
"Kesan pengguguran itu menyebabkan rakyat tidak yakin terhadap sistem juridiksi dan kekukuhan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Bagaimana dengan penyokong kumpulan militan lain seperti IS, Al Maunah, dan lain-lain termasuk kongsi gelap. Adakah mereka juga berhak meminta untuk digugurkan kes?"
Bagaimanapun Muzzammil tidak menafikan hak Peguam Negara yang mempunyai kuasa mutlak menentukan prosiding sesuatu kes itu sama ada mahu dimulakan atau dipindahkan.
"Ini kerana keputusan itu dilihat berat sebelah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Keputusan gugur pendakwaan kes LTTE perlekeh polis: Musa
LTTE: 28 hujah AG batal prosiding jenayah 12 individu
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan yang dilakukan itu mengundang impak yang tidak baik kepada negara.
"Dalam ilmu perakaunan ada yang disebut convention 'conservatism' atau doktrin keberhatian. Dalam menguruskan keselamatan dalam negeri, jangan beri ruang ancaman berputik dan menjadi subur.
"Tersilap tahan suspek yang mencurigakan dan diberi ruang keadilan melalui mahkamah lebih selamat berbanding bahaya ditimbulkan daripada pembebasan suspek yang telah ditahan setelah siasatan dan pengumpulan bukti-bukti yang kukuh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Tindakan melepaskan suspek tanpa melalui proses perbicaraan mahkamah seolah-olah mengkhianati usaha keras PDRM," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, timbul persoalan terhadap kenyataan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk individu mempunyai idola yang diagungkan.
"Mana-mana tokoh yang terlibat dengan aktiviti keganasan tidak boleh diagungkan kerana akan mendorong ideologi terrorisme berkembang di Malaysia.
"Tindakan melepaskan mana-mana individu yang disabitkan dengan kumpulan pengganas ini juga meletakkan negara dan rakyat Malaysia pada satu tahap membimbangkan," katanya.
Dalam pada itu, katanya, maruah Malaysia juga telah tercalar kerana negara luar seperti India, Amerika Syarikat, Sri Lanka dan Kesatuan Eropah mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas yang diharamkan di negara itu sebaliknya Malaysia pula menyokong.
"Kerajaan PH dan Peguam Negara telah mencabul kedaulatan undang-undang negara kerana tunduk dengan kepentingan politik DAP.
"Tidak mustahil, Malaysia akan menjadi negara tumpuan pengganas seperti Daesh, Abu Sayaf dan juga LTTE malah mungkin juga menjadikan tanah air kita sebagai pusat operasi kerana kerajaan yang memerintah negara mengiktiraf kehadiran mereka," katanya.