Dana Didik Harapan Johor menyediakan peluang insentif penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) seawal usia sehari kepada anak kelahiran negeri ini.
Inisiatif tersebut merupakan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Johor melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Kesihatan Johor dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor.
Menerusi langkah itu, setiap bayi kelahiran Johor pada tahun 2020 akan menerima sebanyak RM100 berbanding RM50 pada tahun 2018 dan 2019.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, pihaknya berbesar hati dengan komitmen kerajaan negeri secara bersungguh mendidik rakyat supaya menabung seawal usia anak-anak.
"PTPTN berharap kerajaan Johor akan terus menyokong usaha kami untuk menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
"Sesungguhnya rakyat Johor amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang prihatin dalam menyediakan keperluan terutama bagi persediaan anak-anak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada program Walkabout Dana Didik Harapan Johor di Hospital Sultan Ismail di sini semalam.Program itu merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN untuk meraikan bayi yang dilahirkan di Johor pada tahun 2020 dan bakal menerima Dana Didik Harapan Johor.
Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri lain dapat mencontohi usaha yang dilakukan negeri Johor selepas ini.
"Mereka boleh menjadikan SSPN sebagai pilihan utama untuk pemberian insentif dalam belanjawan dan program-program utama bagi manfaat rakyat pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan YPJ, Mohd Zeen Watak berkata, kerajaan Johor berharap pemberian bantuan pendidikan itu dapat membantu anak bangsa Johor mencapai cita-cita dan mengurangkan masalah kewangan yang dilihat boleh menghentikan impian mereka.
"Malah, dengan inisiatif ini, negeri Johor dapat melahirkan lebih ramai modal insan,” kata beliau.