KUALA SELANGOR - Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol anak perempuannya berusia lapan tahun pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada ibu mangsa kira-kira jam 8.29 malam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 33 tahun telah bercerai dengan ibu kanak-kanak itu sejak 13 Februari 2022.
"Mangsa kemudian tinggal dengan bapanya dan dibenarkan bersama ibu pada hujung minggu serta cuti persekolahan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, katanya, polis turut menerima laporan satu lagi kes rogol membabitkan dua suspek iaitu datuk dan bapa saudara kepada remaja perempuan berusia 14 tahun pada Sabtu.
Katanya, polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.38 petang oleh datuk saudara remaja itu selepas menerima aduan daripada mangsa.
"Siasatan awal mendapati dua suspek lelaki berusia 66 dan 21 tahun masing-masing merupakan datuk dan bapa saudara mangsa.
"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Selangor telah menahan kedua-dua lelaki terbabit," katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang terlibat dalam dua kes rogol itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
"Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad sehingga 7 Februari depan bagi membantu siasatan," katanya.