SEMPORNA - Dua pelancong warga China berdepan detik cemas apabila van persiaran yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kilometer 38 Jalan Semporna-Tawau, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dua pelancong dan ketiga-tiga pemandu hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, kemalangan melibatkan van persiaran, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah kereta Perodua Bezza.
"Pemandu pacuan empat roda lelaki berusia 25 tahun dan pemandu Perodua Bezza berusia 26 tahun dalam perjalanan dari Tawau menuju ke arah Semporna, manakala pemandu van persiaran pula lelaki berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Semporna menuju ke Tawau.
"Sebaik tiba di lokasi, pemandu Perodua Bezza telah masuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan berlaku perlanggaran dengan van tersebut dan seterusnya dilanggar oleh pacuan empat roda," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, susulan kejadian itu menyebabkan kesemua kenderaan mengalami kerosakan teruk.
"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua penumpang serta pemandu kenderaan hanya cedera ringan.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," katanya.