KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu membongkar kegiatan penyeludupan motosikal jenis Yamaha RX-Z susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Padang Luas, Jertih, di Besut pada Sabtu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kegiatan penyeludupan itu terbongkar hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dijadikan bengkel kenderaan di kampung berkenaan.
Menurutnya, rampasan terbesar itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu susulan laporan polis dibuat sebelum ini.
"Hasil pemeriksaan ke atas bengkel yang turut disaksikan oleh suspek menemukan 11 buah motosikal jenis Yamaha RX-Z, empat casis dan enam komponen enjin motosikal jenis tidak pasti.
"Kita percaya kesemua barangan tersebut dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, suspek berusia 41 tahun berasal dari Jertih yang mengaku sebagai pemilik rumah itu telah ditahan pada hari sama.
"Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 61 (1) LLPK (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).
"Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat manakala ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya adalah negatif," ujarnya.
Menurut Mohd Khairi, sebelum ini seramai 48 anggota polis termasuk 12 pegawai kanan menjalankan Op Mega Lejang Terengganu bermula 1 hingga 31 Januari lalu.
Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 14 buah premis telah diperiksa membabitkan 30 motosikal pelbagai jenama.
"Kita turut memeriksa seramai 30 orang individu dan 10 daripadanya berusia lingkungan 24 hingga 46 tahun telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955," jelas beliau.
Beliau berkata, Op Mega akan dijalankan secara berkala dan terancang bagi tujuan pencegahan jenayah harta benda.
"Pemilik dan penjaga premis turut dinasihati supaya tidak terlibat dalam menjual, membeli dan bersekongkol dengan mana-mana individu atau kumpulan jenayah.
"Sebarang kes berkaitan jenayah atau individu mencurigakan di kawasan sekitar diminta segera laporkan kepada pihak polis atau mana-mana pihak berkuasa," katanya.