KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap pemegang lesen yang gagal patuh penggunaan produk biodegradasi mulai 1 Mac ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, larangan penggunaan polistirena, beg plastik telah mula dikuat kuasa sejak 1 September 2017 sebelum syarat tambahan larangan straw plastik mulai 1 Januari 2020.
Menurutnya, peniaga dikehendaki menggunakan produk biodegradasi sebagai gantian plastik yang mendapat pensijilan Sirim Eco-001:2018 atau Sirim Eco-009:2016 dari Sirim Berhad.
"Pemegang lesen dibenarkan mengenakan caj 20 sen terhadap pembungkusan klasifikasi biodegradasi kepada pengguna.
"Kegagalan pemegang lesen berbuat demikian berdepan kompaun sehingga RM1,000, lucut hak deposit, denda tidak melebihi RM2,000 dan penjara tidak lebih setahun atau pembatalan lesen," katanya.
Katanya, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah undang-undang kecil (UUK) Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016 atau UUK Pelesenan Penjaja 2016.
"Tindakan juga bokeh diambil di bawah UUK Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 serta UUK Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 atau kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
"Larangan itu selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Kuala Lumpur hijau, bebas pencemaran alam sekitar dan warganya hidup sihat serta sejahtera," katanya.