RAMAI gembira dan puas hati apabila pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki yang bertindak menampar muka isterinya di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, Sepang baru-baru ini.
Menurut pihak polis, lelaki tersebut yang kini direman selama tiga hari, tergamak melakukan perbuatan itu hanya kerana isterinya lambat keluar dari premis tersebut selepas membeli nasi ayam.
Bagaimanapun, turut kelihatan dalam rakaman video yang tular di media sosial ialah seorang kanak-kanak di sebelah lelaki terbabit.
Jika itu anak pasangan tersebut, maka Merak Jalanan berasa amat kasihan dan sedih kerana dia menyaksikan ibunya ditampar oleh bapanya sendiri.
Jauh di sudut hati Merak Jalanan mungkin itu bukan kejadian pertama berlaku, dan akhirnya perbuatan keji itu terbongkar dalam rakaman video tersebut.
Berdasarkan rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 2,794 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada pihak berkuasa dari tahun 2021 hingga 2023 di seluruh negara.
Mungkin ada lagi kes-kes yang tidak dilaporkan oleh mangsa kerana sebab-sebab tertentu, namun bagi Merak Jalanan tiada sesiapa pun harus diperlakukan sedemikian.
Untuk itu, golongan wanita perlulah diberikan panduan dan pendedahan tentang kaedah terbaik untuk melindungi atau menyelamatkan diri mereka jika berlaku perkara tersebut.
Kita juga mengharapkan supaya semua pihak main peranan masing-masing dan gunakan konsep ‘jaga tepi kain orang’ untuk menyelamatkan ramai wanita daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Namun konsep tersebut hanyalah untuk kebaikan semata-mata, sebaliknya jangan jaga tepi kain orang lain untuk tujuan mengaibkan jiran atau perkara yang tidak sepatutnya.