Polis serah siasatan kes khutbah kepada JAIPk

Iklan
Zulkafli

IPOH - Polis menyerahkan siasatan kes khatib yang tidak membacakan khutbah Jumaat disediakan pihak berkuasa agama negeri ini kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, setakat ini pihaknya telah pun merakam keterangan dua individu yang tampil membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Iklan
Iklan

"Dua laporan polis telah diterima pada 2 Februari di Balai Polis Teluk Intan dan kedua-dua pengadu itu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Semua laporan tersebut telah dirujuk kepada JAIPk untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

Pada Ahad, seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak membuat laporan polis susulan tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa enggan membaca teks khutbah disediakan JAIPk pada Jumaat lalu.

Laporan polis itu dibuat setelah imam tersebut mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini.

Iklan

Sebelum itu, sebuah portal melaporkan seorang khatib di Parit Buntar membaca teks Khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Teks khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk pada 31 Januari lepas mendapat perhatian umum selepas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Rif'aat Razman mempersoalkan pemilihan tajuk khutbah itu yang menurutnya seakan-akan menyinggung Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga bapanya.

Bagaimanapun, JAIPk menerusi hantaran di Facebook memaklumkan teks khutbah bertajuk 'Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki' tersebut disediakan berdasarkan peristiwa fitnah terhadap isteri Nabi Muhammad SAW iaitu Aisyah.

JAIPk memaklumkan teks khutbah berkenaan yang dibacakan tiada kena-mengena dengan mana-mana individu dan khutbah itu diolah berdasarkan peristiwa 'Al-Ifki' yang berlaku dalam bulan Syaaban.