ISKANDAR PUTERI - Hospital Gleneagles Johor (GHJ) menganjurkan 'Metaverse Health Hunt' dan Jelajah Media bagi berkongsi pengalaman sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta terkemuka di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor, Dr Kamal Amzan berkata, GHJ sentiasa komited dan kekal di barisan hadapan dengan pelbagai kejayaan telah diraih sebelum ini.
"Hari ini, bukan sekadar lawatan media tetapi juga GHJ mahu berkongsi pandangan mengenai masa depan tentang landskap penjagaan kesihatan melalui inovasi dan teknologi canggih.
"Dalam masa yang sama, GHJ membina kepercayaan, merapatkan jurang, dan sentiasa meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan holistik di seluruh rantau ini.
"Sejajar dengan prinsip 'On Your Side', kami komited untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang memenuhi keperluan setiap individu serta komuniti," katanya ketika merasmikan 'Metaverse Health Hunt' dan Jelajah Media di GHJ pada Isnin.
Wakil media, penghasil kandungan dan pempengaruh media sosial yang menyertai program tersebut dibawa melawat ke Pusat Kanser, Ortopedik, dan Jantung serta Unit Kecemasan dan Trauma.
Selain itu, GHJ turut memperkenalkan 'Premium International Patient Lounge', sebuah ruang eksklusif yang memberikan keselesaan dan layanan terbaik kepada pesakit yang datang dari jauh.
Menurut Dr Kamal lagi, GHJ yang terletak di lokasi cukup strategik di Johor turut memberikan khidmat rawatan kepada pesakit dari Batam, Pekan Baru, Dumai dan kawasan sekitarnya.
"Pada tahun lalu pencapaian luar biasa diraih, di mana lebih 250 pembedahan robotik dalam bidang obstetrik dan ginekologi serta lebih 100 pembedahan penggantian lutut total menggunakan robot dilakukan.
"Setiap angka ini bukan sekadar statistik, tetapi ia lebih kepada kisah ketabahan, pemulihan dan harapan baharu.
"Kejayaan ini membuktikan bagaimana teknologi dan kepakaran klinikal boleh bergabung untuk merungkai batasan baharu dalam bidang penjagaan kesihatan," jelasnya.