SHAH ALAM - Peredaran zaman yang serba maju dan canggih menjadi faktor ramai golongan muda gemar membina perkenalan awal menerusi aplikasi dalam talian.
Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pengguna terutamanya golongan muda perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa.
"Zaman sentiasa berubah, jika dahulu kita kenal seseorang itu secara fizikal, bagaimanapun, dengan teknologi canggih masa kini, sesebuah hubungan itu dijalin hanya sekadar kenal menerusi media sosial,” katanya.
Jelasnya, keadaan ini secara langsung merisikokan pengguna itu sendiri terutamanya apabila mereka dibuai dengan pelbagai kata-kata serta janji manis hanya menerusi hantaran di media sosial berkenaan.
"Tidak semua yang menggunakan aplikasi dalam talian itu benar-benar ikhlas dalam menjalin hubungan, ada kalangan individu ini mereka hanya sekadar mahu ambil kesempatan,” katanya.
Menurutnya, mereka yang tidak bertanggungjawab ini sentiasa mencari individu yang dirasakan mudah untuk ditipu serta diambil kesempatan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Generasi Interaksi, Muhammad Yusuf Abdul Ghani berkata, kerajaan digesa untuk terus ambil langkah tegas menguatkuasakan undang-undang ke atas aplikasi sosial yang membawa ancaman kes jenayah.
Katanya, platform ini membawa ancaman besar jika tidak digunakan dengan bijak dan beri ruang kepada pelbagai jenayah antaranya eksploitasi, penipuan dan ugutan jenayah akibat perkongsian maklumat atau bahan sensitif dengan individu tidak dikenali.
"Dalam soal ini, kerajaan perlu mengambil langkah tegas dengan menguatkuasakan undang-undang ketat ke atas aplikasi sosial,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, pendedahan perlu diberikan kepada golongan muda seawal di bangku sekolah rendah dalam mendidik tentang risiko penggunaan aplikasi ini sekiranya ia digunakan dengan sewenangnya.