ALOR GAJAH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan merancakkan promosi hasil pertanian ke seluruh negara bagi mengelakkan lambakan buah-buahan seperti durian musang king berikutan sekatan eksport ke China susulan koronavirus (Covid -19).
Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, antaranya dengan membawa musang king serta hasil pertanian segar lain ke beberapa program anjuran FAMA dan kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar tani atau Bazar Peduli Rakyat (BPR) memandangkan buah itu sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran domestik.
"Kita sedang memantau barangan segar dan buah-buahan seperti musang king yang mungkin berlaku sedikit lambakan disebabkan sekatan eksport ke negara China.
"Jadi kita telah membuat perancangan terperinci untuk mengelakkan lambakan ke atas buah-buahan itu, salah satunya dengan turun padang membawa hasil pertanian ke kawasan tumpuan penduduk," katanya kepada pemberita selepas program Bazar Peduli Rakyat (BPR) yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Sofi Ab Wahab di pekarangan Kompleks JAPERUN Durian Tunggal di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi FAMA negeri, Samudin Hassan, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman dan Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Yuhaizad Abdullah.
Menurutnya, FAMA juga akan membuat jualan premium durian musang king di hotel-hotel bagi mengekang harga buah itu daripada terus mengalami penurunan di pasaran memandangkan harga semasanya kini telah menurun sehingga RM50 sekilogram berbanding harga sebelum ini antara RM70 dan RM80 sekilogram.
Katanya, penurunan harga musang king dijangka terus berlaku antara RM48 hingga RM45 sekilogram, bagaimanapun beliau percaya penurunan itu tidak sampai menjejaskan golongan petani memandangkan eksport ke Singapura masih berjalan.
Dalam perkembangan lain Ishak berkata, FAMA juga akan menganjurkan kempen berbuka puasa dengan buah harumanis sempena Ramadan bagi mengelak lambakan berlaku kerana pengeluaran hasil dijangka bermula pada April hingga Jun ini seperti tahun lalu.
Sementara itu Ishak berkata, BPR akan diteruskan dengan menyasarkan 10 kawasan baharu sepanjang tahun ini melibatkan jumlah sumbangan RM28,000 untuk golongan kurang bernasib baik.
"Kita akan teruskan program ini untuk membantu meringankan beban rakyat. Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada pengunjung menyalurkan sumbangan bahan mentah serta sumber segar melalui Kaunter My Food For Ummah (MFFU)," katanya.
Dalam pada itu, Ishak turut mengumumkan harga jualan murah RM6 bagi seekor ayam berbanding RM10 dan RM5 sepeket ikan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ketika program itu.