KUALA SELANGOR - Pemaju projek perumahan di Taman Sungai Yu Indah, di sini sedang berusaha melengkapkan segala prosedur yang diperlukan oleh pihak berwajib.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, hasil pertemuan beliau dengan pemaju projek itu terdapat dua isu masih belum selesai melibatkan Indah Water Konsortium (IWK) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hingga menyebabkan kelewatan rumah itu untuk diduduki.
"Isu yang dihadapi ini lebih kepada masalah prosedur yang perlu diselesaikan, namun pemaju telah memenuhi semua keperluan ditetapkan dan kini hanya menunggu masa untuk proses seterusnya dilaksanakan," katanya menerusi satu video yang dikongsi di TikTok pada Selasa.
Tambahnya, masalah itu akan diajukan kepada IWK dan Air Selangor agar dapat diberi keutamaan dan ditangani segera.
Ujarnya, pembeli perumahan terbabit telah menunggu hampir dua tahun untuk memiliki kediaman masing-masing.
"Saya sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan untuk memastikan pembeli dapat menduduki rumah segera," jelasnya.
Terdahulu, pembeli projek perumahan itu merungut kerana terpaksa membayar pinjaman sedangkan kediaman mereka belum boleh diduduki.
Difahamkan, projek itu sepatutnya siap dan boleh diduduki selewatnya-lewatnya pada Januari lalu, namun sehingga kini ia masih belum diserahkan kepada pembeli.