KUANTAN - Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang kelima, menyerahkan takhta kepada anakanda baginda Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun.
Pengumuman berhubung pelantikan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu dibacakan Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis khas di Istana Abu Bakar di Pekan hari ini. Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakan pada 15 Januari ini.
Cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini berada dalam keadaan gering dan dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.
Sultan Ahmad Shah, 88, dilantik menjadi Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Sultan Abu Bakar dan istiadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 8 Mei 1975. Diputerakan di Istana Mangga Tunggal di Pekan pada 24 Oktober 1930, Sultan Ahmad Shah merupakan anakanda ketiga dan putera tunggal kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dengan Almarhum Raja Ampuan Fatimah Sultan Iskandar Shah.
Baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 1944, ketika berusia 14 tahun.
Sultan Ahmad Shah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975 dan kemudian menjadi ketua negara apabila dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh yang memerintah negara pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984.
Selepas tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda kembali menjadi pemerintah Pahang sehinggalah baginda jarang kelihatan di khalayak umum sejak kebelakangan ini kerana gering dan kemudian menyerahkan jawatan itu untuk dipangku oleh anakandanya Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah pada 28 Disember 2016.
Dalam soal akademik, Sultan Ahmad Shah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar di Perak.
Bagaimanapun, pembelajaran baginda terganggu ekoran Perang Dunia Kedua, namun baginda mengambil kesempatan itu untuk turut mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.
Apabila Perang Dunia Kedua berakhir, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah.
Pada 1948, Sultan Ahmad Shah meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Universiti Oxford dan Universiti Exeter, Devon di United Kingdom dalam bidang Pentadbiran Tempatan.
Baginda juga berkesempatan menjalani latihan amali di Sidmouth Urban District Council selama tiga tahun. Ketika berusia 35 tahun, baginda pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpengkalan di Kem Batu 5, Mentakab, Pahang.
Sultan Ahmad Shah mengahwini Tengku Hajah Afzan Tengku Muhammad pada 22 April 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak, dua orang putera dan lima orang puteri iaitu Tengku Tan Sri Meriam, Tengku Datuk Seri Muhaini, Tengku Datuk Seri Aishah Marcella,Tengku Abdullah, Tengku Abdul Rahman, Tengku Datuk Nong Fatimah dan Tengku Datuk Shahariah.
Selepas kemangkatan Tengku Afzan pada 29 Jun 1988, Sultan Ahmad Shah mengahwini Sultanah Hajah Kalsom pada 14 Mac 1991 dan dikurniakan seorang putera Tengku Fahd Mu'adzam Shah.
Jawatan-jawatan lain yang pernah disandang baginda termasuk Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) sejak 1 Julai 1983, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari 1984 sehingga 2014, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1994 sehingga 2002. serta menjadi Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada 2011.
Sultan Ahmad Shah merupakan seorang Raja yang cukup dikenali kerana berjiwa rakyat dan penuh dengan sifat rendah diri, malah ungkapan"Raja dan Rakyat Berpisah Tiada" sering menjadi pegangan baginda.
Tanpa mengira protokol dan darjat sebagai seorang yang berdarah diraja, Sultan Ahmad Shah merupakan antara orang yang terawal akan 'menyinsing seluar' mencemar duli melawat daerah-daerah di Pahang setiap kali berlaku bencana terutama banjir, untuk menghulur bantuan dan berkongsi derita serta keluh kesah dengan rakyat.
Bagi Sultan Ahmad Shah, rakyat adalah keutamaannya dan baginda yang lebih mesra membahasakan dirinya `saya' juga sentiasa memantau pembangunan di Pahang dan tidak teragak-agak untuk menegur pihak yang terlibat jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.
Ini terbukti apabila baginda menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands pada November 2014.
Begitu juga semasa kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada November 2015, walaupun dalam keadaan keuzuran, baginda tetap turun padang melihat sendiri keadaan itu dan mengarahkan penyelesaian dicari bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.
Di kalangan pengamal media pula baginda turut disayangi dan disenangi kerana sifat mesra baginda yang tidak keberatan untuk ditemubual setiap kali ditemui pada majlis-majlis baginda. - Bernama