BANGI - Kemalangan di luar waktu kerja atau bukan bencana kerja mencatatkan angka agak membimbangkan membabitkan 19,955 kes pada tahun lalu.
Angka itu mewakili 23 peratus daripada keseluruhan 86,529 kes kemalangan yang dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Hanya 66,574 kes disahkan sebagai bencana kerja iaitu 32,936 kes adalah kemalangan industri manakala 33,638 kes ialah kemalangan perjalanan.
Timbul persoalan nasib kumpulan bukan bencana kerja ini yang tiada penggantian pendapatan dan tidak mendapat faedah skim sama ada menerusi Faedah Pencen Penakat, Faedah Pencen Ilat serta kemudahan rehabilitasi.
Justeru Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dilihat satu keperluan bagi menyediakan perlindungan 24 jam kepada pencarum.
Tambahan pula jika dilihat secara purata, sebanyak 54 kes kemalangan sehari yang dikategorikan sebagai bukan bencana direkodkan sepanjang 2024.
54 kes ini mungkin membabitkan ketua keluarga, ibu, abang atau kakak yang merupakan tulang belakang atau pencari nafkah keluarga.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, selain penekanan kepada skim perlindungan kerja, PERKESO juga akan memperluas usaha pencegahan kemalangan kerja di bawahnya menerusi Ops Cegah.
Menurutnya, PERKESO akan memperluas Ops Cegah kepada 7,000 majikan yang dikenal pasti merekodkan kes tertinggi dalam pelbagai insiden bencana kerja tahun lalu.
"Sasaran ini melonjak 25.4 peratus berbanding berbanding 5,582 majikan yang terbabit dalam Ops Cegah tahun lalu.
"Langkah ini adalah demi memastikan pendekatan Sifar Kemalangan berupaya diterapkan di semua premis majikan dan semasa perjalanan ke tempat kerja," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pencegahan Kemalangan 2025 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Abdul Rahman berkata, Ops Cegah pada tahun ini akan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik seperti Jabatan
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Berkenaan penganjuran konvensyen itu, Abdul Rahman berkata, lebih 500 peserta terdiri wakil majikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi terlibat dalam program kali ini.
Ujarnya, PERKESO sentiasa menyokong program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan pelaksanaan Ops Cegah, dengan memfokuskan kepada majikan yang merekodkan kadar kemalangan tertinggi demi menjamin keberkesanan aspek pencegahan di tempat kerja.
Tambah beliau, setakat ini, sebanyak 675 program KKP diluluskan PERKESO untuk dilaksanakan 35 NGO dan institusi, dengan peruntukan RM4.01 juta pada tahun ini.