LUMUT - [DIKEMAS KINI] Bau busuk membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam tangki simpanan air di sebuah pelantar Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor di sini pada Selasa.
Mayat mangsa berusia 51 tahun itu dijumpai oleh pekerja pelantar yang mahu membuka paip utama berhampiran tempat kejadian sebelum terhidu bau busuk dari arah tangki simpanan air.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, maklumat penemuan mayat mangsa diterima Balai Polis Pangkor daripada orang awam pada jam 3.15 petang.
"Siasatan awal menemui seorang lelaki berada dalam keadaan terlungkup dan tidak sedarkan diri di dalam tangki simpanan air.
"Mayat ditemui dalam keadaan kembung dan membusuk sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pangkor," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Pangkor atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6886222 dan hotline WhatsApp 014-6828005 bagi membantu siasatan.