SHAH ALAM - Langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjenamakan semula pemberi pinjam wang di negara ini memerlukan satu kajian yang menyeluruh daripada pihak yang berpengalaman.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kajian terhadap perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan pelaksanaannya memakan diri seperti beberapa kes yang pernah berlaku sebelum ini.
"Kerajaan perlu menguatkuasakan pelaksanaan secara teliti dan mengikut regulasi yang betul supaya langkah tidak akan memakan diri pada masa hadapan. Secara dasarnya, PPIM sendiri menyokong pelaksanaan ini namun ia seharusnya melalui satu proses kajian yang menyeluruh dan teliti.
"Kita tak mahu nanti pelaksanaan sebegini akan memakan diri seperti kes tarik kereta dahulu. Kebanyakan pemberi pinjam wang ini tidak berlesen malah terlibat dengan gengsterisme dan kita takut ia akan bawa mudarat pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: KPKT jenamakan semula nama pemberi pinjam wang]
Menurutnya, langkah bagi meregulasikan pemberi pinjam wang ini adalah satu usaha yang baik berikutan pihak berkenaan tidak akan lagi terlepas dan perlu membayar cukai selepas ini.
"Penguatkuasaan perlu dititikberatkan dan kelemahan-kelemahan lain juga perlu dikaji secara menyeluruh supaya pelaksanaan ini mencapai objektif dikehendaki.
"Pegawai KPKT juga perlu turun padang sebelum beri kelulusan kepada mana-mana pemberi pinjam wang kerana langkah pelaksanaan melibatkan aspek praktikal. Mungkin kadang-kadang mereka lihat secara dasarnya baik namun di peringkat bawah ini lain pula kaedahnya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin memaklumkan bahawa pihaknya akan melakukan penjenamaan semula terhadap pemberi pinjam wang kepada jenama lebih mesra untuk menangkis persepsi ramai bahawa syarikat berkenaan adalah ‘ah long’.
Zuraida berkata, penjenamaan semula yang dijangka dilaksanakan pada Jun ini juga bertujuan untuk menyedarkan masyarakat berkaitan kewujudan syarikat pemberi pinjam wang yang sah sekali gus membantu mendapatkan pembiayaan yang selamat.