KUALA LUMPUR - Siasatan terhadap Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi berjalan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia berdasarkan maklum balas yang diterimanya daripada SPRM.
"SPRM juga melihat dari aspek ketidakpatuhan dan tatakelola serta kepada semua kemungkinan isu-isu rasuah yang terlibat seperti salah guna kuasa selaras dengan Akta 694 serta kesalahan-kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) termasuklah berkaitan penipuan dan fraud.
"Justeru, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan subseksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan.
"Ia tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah,” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai perkembangan terkini SPRM terhadap pengurusan HRD Corp sebagaimana disarankan oleh Laporan Ketua Audit Negara yang menyarankan tindakan penguatkuasaan.
Pada Julai tahun lalu, SPRM menyiasat HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 berikutan ada beberapa keputusan diambil agensi itu didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi melalui Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 sebelum ini berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dilakukan.
PAC sebelum itu mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.