KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi akan memfokuskan usaha untuk memperbaiki kestabilan liputan 4G di kawasan yang kurang mendapat liputan internet melalui teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN), demikian Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, walaupun secara purata liputan 4G bagi kawasan berpenduduk di negara ini sudah melebihi 97 peratus, namun peratusan liputan oleh setiap syarikat telekomunikasi adalah berbeza.
"Kita mendapati liputan 4G bagi setiap syarikat adalah berbeza iaitu Celcom pada kadar 94 peratus, Digi (95 peratus), Maxis (98 peratus), U-Mobile (82 peratus) dan TM (Telekom Malaysia) sebanyak 80 peratus...ini faktor yang kita mahu atasi pada tahun ini.
"Kita mahu menggalakkan syarikat telco ini memastikan bagi kawasan yang tiada liputan 4G, mereka akan menggunakan teknologi MOCN untuk kongsi infrastruktur ini untuk pastikan semua pengguna tidak kira menggunakan perkhidmatan dari syarikat telco yang mana, boleh menikmati 4G yang stabil,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang ingin tahu bagaimana kerajaan akan memastikan liputan 4G tidak diabaikan susulan penggunaan 5G.
AKAN MENYUSUL